Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen: Kesesakan zon motosikal di ICQ akibat gangguan sistem M-Bike
Diterbitkan:  Mar 4, 2024 11:09 PM
Dikemaskini: 3:09 PM

Kesesakan luar biasa yang berlaku di Zon Motosikal Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, disebabkan masalah gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata insiden gangguan sistem berkenaan, berlaku disebabkan oleh kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu, yang dilantik bermula 29 Feb lepas.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum mengenai kesesakan luar biasa, yang berlaku di zon Motosikal ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.

“Pihak syarikat pengendali dan JIM sedang mengambil tindakan drastik bagi mengatasi gangguan ini, dan gangguan dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan motosikal, JIM telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan kaunter manual secara maksimum, bagi membolehkan pemeriksaan di Zon Motosikal dilakukan secara manual, sehingga isu gangguan sistem diatasi.

Beliau berkata JIM komited melakukan yang terbaik bagi memastikan masalah gangguan ini dapat dipulihkan dengan kadar segera, sekali gus menafikan berita yang tular mengenai dakwaan penamatan kontrak M-Bike disebabkan arahan ‘orang atasan’.

“JIM menafikan berita tular itu, sebaliknya syarikat pengendali terdahulu telah tamat tempoh kontraknya dan lantikan syarikat pengendali baharu telah dilaksanakan mengikut prosedur kewangan yang berkuat kuasa.

"Justeru, orang ramai diseru supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS