Perbicaraan kes pembunuhan model sambilan Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari ini dikejutkan dengan kenyataan seorang anggota yang bertugas di bahagian persenjataan Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman mengenai kelalaian anggota UTK tidak mencatatkan rekod jumlah peluru dan magazin yang dibekalkan kepada mereka.

Konstabel Fatimah Abd Wahap, 30, mendedahkan bahawa bukan beliau seorang sahaja yang tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan (merekod jumlah peluru dan magazin) tetapi juga beberapa anggota lain, demikian menurut laporan Bernama.

Ketika diminta merujuk buku "Daftar Keluar Dan Masuk Senjata" bertarikh 29 September hingga 2 November 2006 yang mengandungi 65 entri, hanya 16 entri sahaja yang mencatatkan jumlah peluru dan magazin yang dibekalkan.

Lebih memeranjatkan apabila daripada jumlah itu (16 entri), hanya dua sahaja yang ditulis olehnya sendiri.

Keadaan tersebut bukan sahaja menarik perhatian umum, malah Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin juga berkali-kali bertanya soalan mengapa beliau lalai hingga gagal mencatatkan sesuatu yang sangat penting itu.

"Itu silap saya sebab saya lupa tulis," kata Fatimah yang kelihatan tertekan sepanjang prosiding dan kenyataannya berapa kali berubah sehingga memeningkan Mohd Zaki yang kemudiannya terpaksa menangguhkan prosiding selama kira-kira 15 minit.

Menerusi buku rekod tersebut, Fatimah mengesahkan bahawa daripada 65 entri itu, terdapat nombor identiti (kod) milik Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan itu, iaitu 125591 tercacat di dalamnya dan beliau (Sirul Azhar) pernah membawa keluar selama 26 hari senjatapi jenis "MP5 Silencer" bagi tujuan tugasan khas.

Tandatangan

Fatimah yang merupakan saksi ke-15 pendakwaan berkata Sirul Azhar membawa keluar senjata tersebut yang mempunyai nombor siri S 98756 pada jam 2 petang pada 4 Oktober 2006 dan kemudiannya dikembalikan ke stor pada 30 Oktober 2006 pada jam 8.15 pagi.

Katanya, Sirul Azhar ada menandatangan ruangan dalam buku tersebut selepas menerima senjata itu.

Pada ruangan "banyak butir peluru dan magazin" yang diambil Sirul Azhar juga tidak dicatatkan apa-apa dan apabila ditanya mengenainya oleh Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup, Fatimah berkata: "Kelalaian saya sendiri kerana tidak tulis."

Manoj: "Pada ruangan jumlah peluru dan magazin, mengapa tidak tertulis jumlah peluru yang dibekalkan?"

Fatimah: "Saya tidak pasti, mungkin saya tengah sibuk."

Manoj: "Kalau ikut prosedur, kamu sepatutnya tulis?"

Fatimah: "Ya."

Manoj: "Bila kamu serahkan MP5 ini kepada Sirul Azhar, senjata dan peluru diberikan secara berasingan?"

Fatimah: "Ya."

60 peluru

Fatimah berkata setiap 'operatif' telah dibekalkan dengan dua magazin dan peluru oleh pihak penjaga senjata terlebih dahulu kecuali mereka yang baru.

Bagaimanapun, ketika ditanya peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Sirul Azhar bahawa beliau tidak membekalkan sebutir peluru pun kepada anak guamnya itu, Fatimah berkata: "Tidak setuju."

Katanya, sebanyak 60 butir peluru telah dibekalkan kepada tertuduh kedua itu kerana beliau sendiri yang mengira jumlahnya ketika senjata MP5 Silencer itu diserahkan dan yakin bahawa Sirul telah memulangkan kembali peluru dalam jumlah yang sama walaupun tiada sebarang catatan dibuat.

Fatimah sebelum itu memberitahu bahawa pihak penjaga senjata hanya menyerahkan dua magazin kosong tanpa peluru kepada seseorang operatif dan setiap kali mereka datang untuk mengambil senjata, mereka juga akan meminta peluru.

"Sewaktu operatif ambil senjata, dia bawa sekali magazin dan tunjuk kepada saya dan saya akan serahkan senjata," katanya.

Fatimah berkata, rekod peluru yang digunakan hanya bergantung kepada jenis senjata yang digunakan seperti MP5 Silencer atau MP5 telah dikhaskan pengeluaran maksimum peluru 60 butir, Glock (24 butir) dan Browning (24 butir).

Katanya apabila senjata dikembalikan, peluru juga dikembalikan termasuk bakinya (sekiranya senjata itu telah digunakan).

Tiada rekod keluar masuk

Pada awal prosiding, Fatimah yang bertugas di bahagian stor senjata pada April 2006 berkata buku daftar keluar dan masuk senjata itu hanya digunakan di UTK dan ia dipegang oleh anggota yang bertugas.

Pada setiap penyerahan dan pengembalian senjata, beliau akan melakukan langkah keselamatan untuk memastikan senjata itu selamat dan sama ada ia mempunyai peluru atau tidak sebelum membuat catatan dalam buku daftar tersebut.

"Anggota datang minta senjata melalui surat sokongan daripada pegawai kanan dan tunjukkan kepada saya, dan saya akan keluarkan senjata.

"Saya buat langkah keselamatan ke atas senjata yang hendak dikeluarkan, kemudian saya rekod dalam buku daftar dan suruh anggota tandatangan. Prosedur untuk kembalikan senjata juga sama," katanya.

Selain itu Fatimah berkata pengeluaran senjata yang dibuat adalah berasaskan tugas dan bagi tugasan individu pengambilan senjata tidak boleh diwakilkan kepada orang lain.

Bagaimanapun, katanya, bagi pengeluaran senjata untuk latihan dalam perkhidmatan, operasi dan pasukan penggempur yang memerlukan jumlah senjata yang banyak, ia akan dikeluarkan kepada wakilnya yang telahpun mendapat kelulusan dari pegawai kanan dan namanya tercatat dalam surat permohonan.

Latihan menembak

"Seseorang operatif boleh mengambil senjata untuk orang lain bagi tujuan latihan dan operasi. Ia hanya dikhaskan seorang untuk mengambil senjata-senjata ini dan bukan seperti MP5 atau Glock untuk 'escort' (tugas mengawal orang kenamaan), untuk membunuh atau kegunaan peribadi," katanya.

Fatimah berkata setiap anggota UTK akan menjalani latihan menembak pada setiap hari Selasa setiap minggu dan senjata akan dibekalkan kepada mereka.

Ketika ditanya peguam pemerhati keluarga Altantuya, Karpal Singh, apakah tugasan khas yang dilakukan Sirul Azhar itu, Fatimah berkata: "Saya tidak tahu."

Prosiding yang masuk hari ke-17 hari ini agak kelam-kabut berikutan kenyataan saksi yang bertukar-tukar dan beliau beberapa kali mendapat teguran daripada hakim, malah pada satu ketika Manoj cuba mengundurkan diri daripada bertanya soalan kepadanya dan menyerahkannya kepada pendakwaraya yang lain kerana beranggapan Bahasa Malaysianya kurang baik yang

menyebabkan Fatimah keliru.

Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata Manoj tidak mempunyai masalah dengan bahasa yang digunakannya tetapi Fatimah yang agak susah memahami soalan.

Mohd Zaki juga sering mengingatkan saksi itu supaya tidak menjawab secara am dan tidak menggunakan perkataan "lebih kurang", "tapi" dan "macam" sebaliknya memberitahu apa yang diketahuinya sendiri.

Perbicaraan bersambung esok.