Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Johari Baharum ditutup.

Ini kerana tiada apa-apa keterangan yang boleh mengaitkan Johari dengan sebarang kesalahan rasuah, kononnya menerima RM5 juta bagi membebaskan beberapa pesalah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969, demikian menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara yang dikeluarkan kepada Bernama, di Putrajaya petang ini.

Abdul Gani berkata, BPR membuka lima kertas siasatan setelah menerima maklumat berhubung perkara itu pada 5 Mac lalu dan menjalankan siasatan rapi, termasuk mengambil pernyataan pesalah-pesalah yang dikenakan tahanan mengikut ordinan itu serta meneliti penyata-penyata akaun yang berkaitan.

"Bagi tiga kertas siasatan yang dibuka, siasatan BPR mendapati pesalah-pesalah yang dikenakan tahanan tersebut menafikan ada memberi apa-apa wang rasuah kepada Datuk Johari Baharum.

"Sementara itu dua lagi kertas siasatan yang dibuka didapati pesalah yang ditahan yang merupakan saksi penting tidak dapat dikesan oleh pihak BPR setelah mereka dibebaskan dari tahanan," kata Abdul Gani.

Penyata akaun

Abdul Gani berkata hasil siasatan BPR melalui saksi-saksi dan dokumen berkaitan mendapati tiada apa-apa keterangan yang boleh mengaitkan Johari dengan sebarang kesalahan rasuah.

"Oleh yang demikian, Peguam Negara telah mengarahkan siasatan BPR yang melibatkan kelima-lima Kertas Siasatan terhadap Datuk Johari Baharum ditutup," tambah kenyataan itu.

Peguam Negara berkata siasatan BPR mengambil masa kerana banyak penyata akaun yang perlu dianalisis berkaitan kes itu di samping saksi-saksi relevan yang perlu diambil kenyataan mereka.

Selain itu, ada di antara saksi yang mengambil masa untuk dikesan dan ada juga yang tidak dapat dikesan.

Sebelum ini, Johari pernah menafikan dakwaan tersebut.