Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengakui tindakan beberapa pemimpinnya meninggalkan pergerakan itu merupakan kerugian besar kepada parti, terutama menjelang pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berkata, pihaknya tidak boleh menghalang mereka daripada meninggalkan parti kerana itu pilihan mereka.

"Saya berharap, walaupun telah meninggalkan PKR, mereka terus memberi sokongan kepada perjuangan parti mengikut kemampuan masing-masing.

"Parti tidak pernah mengusir mereka," katanya ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin AMK meninggalkan parti itu.

Antara mereka ialah bekas Ketua AMK, Ezam Mohd Noor, bekas Setiausaha AMK, SD Johari Yassin dan Ketua AMK Terengganu, Wan Anies Adnan.

Fariz berkata, walaupun berlaku pergolakan, AMK tetap menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang.

'Permainan remeh'

"Saya berharap ahli dan penyokong AMK di semua peringkat membiarkan pucuk pimpinan menyelesaikannya," katanya.

Sementara itu, bekas ketua AMK Terengganu, Wan Anies berkata, kemelut dalam PKR telah berlaku sejak setahun lalu tetapi beliau mendakwa, pucuk pimpinan tidak berusaha mengatasinya.

"Parti ini akan hancur secara perlahan jika pemimpin atasan terus memandang remeh terhadap ketidakpuasan ahli terhadap pucuk pimpinan parti.

"Pemimpin sekarang hanya mahukan orang tertentu yang baru masuk parti, sedangkan ahli yang berjuang sejak dahulu diketepikan," katanya.

Manakala bekas Ketua AMK Pahang, Zukri Aksah pula, ketika dihubungi berkata, permainan politik di kalangan pemimpin PKR tidak pernah ada titik penamat.

Katanya, beliau sendiri sudah beberapa kali membuat teguran dalam kongres parti supaya dihentikan permainan politik itu, dan perhatian ditumpukan kepada agenda asal parti, iaitu menghapuskan rasuah dan menegakkan kerajaan yang adil dan bersih.