Tindakan Kementerian Dalam Negeri membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan adalah satu tindakan yang serius dan boleh dianggap hilang kepercayaan terhadap KPN, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Sehubungan, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri semestinya mengambil tindakan segera menasihatkan KPN supaya meletakkan jawatan dengan segera.

Lebih mendukacitakan lagi, kata Husam, ialah mengikut laporan media, laporan BPR itu dibuat lebih awal daripada tindakan Abdullah menyambung semula kontrak Musa.

"Ia tidak sepatutnya terjadi," kata Husam yang juga ahli Exco Kerajaan Kelantan, dalam suratnya kepada Perdana Menteri semalam.

"Lebih-lebih lagi, seluruh negara kini berhadapan dengan fenomena peningkatan kejadian jenayah di semua peringkat.

"Di Johor, seperti dimaklumi oleh YAB, rakyat tempatan terpaksa berdemonstrasi bagi menarik perhatian kerajaan terhadap rasa tidak selamat yang semakin meningkat kerana berleluasanya kegiatan jenayah," katanya.

Kenyataan Johari

Ketua Polis pula, katanya, dituduh melindungi penjenayah dan tuduhan ini sudah bertukar menjadi laporan BPR oleh pihak Kementerin Dalam Negeri sendiri yang mengelola polis.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya telah membuat laporan kepada BPR bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan KPN menerima suapan RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gengster.

Sehubungan itu Husam berkata: "Bagaimana kroniknya keadaan negara kita. Kesan laporan itu ialah polis melindungi penjenayah dan rakyat pula menggigil berhadapan dengan ancaman jenayah kecil dan besar.

"Pada segi yang lain, seakan YAB tidak mempunyai sistem penapisan sehingga kontrak KPN disambung semula sedangkan laporan BPR oleh Kementerian YAB sendiri telah dibuat ke atas beliau sebelum dari itu. Amat aneh.

"Saya pohon maaf menyuarakan kritikan yang agak tajam ini tetapi negara memerlukan tindakan pantas dan ketelitian YAB dalam isu-isu keselamatan yang serius ini pada masa hadapan.

"Doa saya untuk kesejahteraan YAB dan doa saya untuk Malaysia yang lebih bersih dan amanah. Jika YAB menghadapi tekanan untuk bertindak tegas, berterus terang dengan rakyat dan InsyaAllah rakyat akan bangkit menolong.

"Jika YAB tidak dapat membetulkan kepincangan ini, YAB ternyata gagal memikul amanah negara. Saya menulis surat ini atas nama rakyat biasa Malaysia yang prihatin," kata Husam.