Musa: Tidak sihat guna perangkaan banding pencapaian kaum
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata adalah sesuatu yang kurang sihat apabila perangkaan digunakan untuk membandingkan pencapaian kaum yang berlainan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata adalah sesuatu yang kurang sihat apabila perangkaan digunakan untuk membandingkan pencapaian kaum yang berlainan.
Menurutnya, tindakan tersebut boleh membangkitkan 'bahang dalam masyarakat' yang tidak perlu.
"Apa yang lebih penting ialah bukan kuantiti tetapi kualiti," katanya dalam satu majlis dialog yang diadakan di Petaling Jaya malam tadi.
Menurut Bernama, majlis dialog itu diadakan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyampaikan syarahan bertajuk 'Resipi bagi perpaduan nasional dalam dunia yang berubah' anjuran Yayasan Tun Razak di Petaling Jaya malam tadi.
Terdahulu, dalam syarahannya, Musa berkata beliau gembira dengan demokrasi yang diamalkan di negara ini dan tahap pemikiran antara kaum pada masa ini berbanding dengan sebelum Malaysia merdeka.
Bertindak rasional
Beliau berkata kini lebih jelas bahawa masyarakat bertindak secara lebih rasional berbanding pada masa lalu.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Yayasan Tun Razak, Tun Mohammed Hanif Omar.
Sebelum itu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ingin tahu kenapa ibubapa di Malaysia daripada golongan pertengahan memilih untuk menghantar anak mereka sekolah vernakular dan agama, bukannya ke sekolah kebangsaan.
Menjawab soalan tersebut, Musa berkata, kerajaan perlu mencari sebab kenapa ibu bapa berbuat demikian.
"Kaji sebabnya, itu yang pernah kita lakukan, Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib sebagai contoh," kata Musa.
Musa berkata kajian itu mungkin mengambil masa satu atau dua tahun.

