Ketua kampungnya, Senin Mat berkata, majoriti penduduk di kawasan itu merupakan orang Melayu dan masyarakat India cuma kira-kira 100 orang sahaja.

"Selama ini mereka menggunakan dua buah kuil yang besar tersebut tanpa sebarang halangan, orang Melayu tidak pernah mengganggu mereka.

"Lokasi kuil kecil tidak sesuai kerana di sekelilingnya merupakan rumah-rumah penduduk orang Melayu dan Cina, selain tapaknya adalah tanah lot tapak rumah," katanya ketika dihubungi semalam.

Kampung Tambak Paya terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan terletak kira-kira lapan kilometer dari Bandaraya Melaka Bersejarah.

Senin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambak Paya berkata, kuil kecil tersebut sudah lama wujud tetapi tidak disedari penduduk kampung kerana ia terselindung oleh bengkel tempat menyimpan besi buruk.

Bagaimanapun, katanya apabila bengkel tersebut dirobohkan apabila lesennya tidak disambung oleh pihak berkuasa, baru penduduk tahu kewujudan sebuah kuil baru di kawasan itu.

"Mula-mula saiznya hanya sebesar sebuah pondok menunggu durian, tetapi ia semakin besar berikutan penganut Hindu yang sebelum ini beribadat di dua kuil yang lain mula datang ke kuil tersebut.

"Berikutan itu beberapa ahli Pemuda Umno cawangan kampung ini memasang kain pemidang di depan kuil yang membantah pembesaran kuil tersebut," katanya.

Kain pemidang itu berbunyi 'Jangan cabar kesabaran kami' dan 'Robohkan kuil haram ini'.

Berikutan itu, katanya, keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penduduk yang beragama Islam sehingga mereka telah membuat bantahan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBBB).

Senin berkata, MBBB telah mengadakan mesyuarat dengan pihak polis dan penduduk untuk mencari langkah terbaik bagi menangani masalah tersebut.

MBBB, akhirnya memutuskan supaya kuil tersebut dirobohkan dan telah tiga kali memberi notis supaya merobohkan kuil tersebut.

"Apa yang saya tahu kuil tersebut perlu dirobohkan sebelum Sabtu ini dan jika mereka tidak berbuat demikian pihak MBBB akan merobohkannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Kampung Tambak Paya, Datuk Moomin Aziz berkata, jika kuil itu dibina ini bermakna penganut agama Hidu tidak menghormati orang Melayu yang merupakan golongan majoriti di kampung tersebut.

Beliau yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, walaupun tapak kuil itu milik individu tetapi tidak pernah membuat permohonan kepada pihak berkuasa seperti MBBB dan Pejabat Tanah.

"Penduduk Melayu bimbang jika pembinaan kuil dibenarkan lebih banyak kuil akan dibina di kampung tersebut.

"Jika ini estet yang memang merupakan majoriti penduduk keturunan India, umat Islam tidak membantah," katanya.