Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Bersatu Selat Kelang ikrar sokongan kepada MB Selangor
Diterbitkan:  Mar 6, 2024 1:54 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari hari ini menyatakan sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Menerusi satu kenyataan, katanya, keputusan itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan.

“Ini setelah saya meneliti ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini juga adalah akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.

“Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam,” katanya.

Bersatu pada 2 Mac lalu meminda perlembagaan parti itu dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sabtu lalu, dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Artikel itu menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.

Sebelum ini, enam ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Abdul Rashid adalah Adun pertama Bersatu yang berpaling tadah. Katanya, keputusan berkenaan adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutamanya penduduk di Selat Kelang yang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu.

“Saya kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai Adun Selat Kelang,” katanya.

Dengan sokongan Abdul Rashid, kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan dan disokong oleh BN kini mempunyai 35 kerusi di DUN Selangor manakala PN yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu mempunyai 21 kerusi.

Jumlah itu masih belum mencukupi untuk menikmati sokongan dua pertiga.

Sementara itu, Bernama memetik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San sebagai berkata, dia belum menerima pemakluman berhubung tindakan Abdul Rashid setakat 1.50 tengah hari ini.

“Kedudukan (kerusi dalam DUN Selangor), saya akan bincang balik sebelum membuat keputusan berkaitannya dan kalau mengambil kira pernyataan sokongan Selat Klang, maka kedudukan PN di DUN Selangor adalah 21 kerusi,” katanya.  

Lihat Komen
ADS