Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isa Samad lahir rasa syukur, lega bebas tuduhan rasuah RM3 juta
Diterbitkan:  Mar 6, 2024 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melahirkan rasa syukur selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan hari ini daripada sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mohd Isa, 74, lega keputusan itu akhirnya membolehkan beliau dan keluarganya kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Terima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya (pasukan peguam) kerana telah menjalankan tugas dengan baik, bersusah serta begitu sabar selama enam tahun. Kita syukur kerana mendapat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui media selepas mendengar keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman di lobi Istana Kehakiman, hari ini.

Terdahulu panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, secara sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Feb 2021 selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Mohd Isa berkata segala yang diputuskan mahkamah adalah hak insitusi kehakiman itu dan beliau menerima apa sahaja keputusan itu dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai perancangan beliau untuk menyertai semula politik, Mohd Isa berkata ia bergantung kepada keadaan kerana politik adalah subjektif.

“Kalau keadaan baik dan memerlukan (saya kembali terbabit politik), saya boleh sertai (kembali) dan kalau sebagai penyokong parti sahaja, saya tidak berubah. Kes pun belum habis lagi, mungkin ada rayuan lain, tetapi yang pasti saya adalah penyokong Umno yang taat setia,” katanya.

Sementara itu isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menyifatkan keputusan hari ini satu kemenangan buat keluarganya, malah beliau dan anak-anak sentiasa memberi semangat kepada suaminya sepanjang kes berlangsung.

Sementara itu peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata pihaknya sentiasa bersedia sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu media bahawa beliau akan memaklumkan keputusan hari ini kepada Peguam Negara sebelum membuat tindakan susulan.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa bersalah atas semua pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta dalam pembelian Merdeka Palace Hotel& Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu, ke atas Mohd Isa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS