Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu nafi empat lagi Adun akan sokong MB Selangor
Diterbitkan:  Mar 6, 2024 5:43 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Ahli Majlis tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin menafikan khabar angin empat lagi Adun Selangor akan memberi sokongan kepada Menteri Besar, Amirudin Shari susulan sokongan Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari terhadap kerajaan negeri.

Menurut Sinar Harian, Adun Taman Medan itu berkata ia merupakan dakwaan pihak tertentu yang tidak berasas untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli Bersatu.

"Sendiri buat persepsi," kata Afif kepada akhbar berkenaan.

Menurut organ Pakatan Harapan, Harapan Daily, lima Adun mendakwa mereka 'dibuli' oleh Pengerusi Bersatu negeri, Azmin Ali dan membuat keputusan untuk menyokong kerajaan negeri.

Lidah rasmi gabungan itu juga melaporkan empat Adun Bersatu akan mengikut jejak langkah Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari dalam menyokong pentadbiran Selangor.

Mereka ialah Adun Jeram, Harrison Hassan, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali), Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis) dan Jamil Salleh (Dengkil).

Ketika membuat pengumuman itu, Rashid menyebut beberapa sebab mengapa dia menyokong pentadbiran Amirudin.

Antaranya, selepas dia meneliti ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji kerajaan negeri Selangor kerana berada di landasan yang betul dalam memajukan negeri dan rakyat.

Menurutnya, langkah ini juga diambil berikutan sikap Perikatan Nasional yang berdiam diri berhubung tuduhan yang dilemparkan ke atas raja-raja Melayu.

Rashid dilantik sebagai pengerusi Bersatu Selangor dari September 2020 hingga Januari tahun ini, sebelum digantikan oleh Azmin Ali.

Susulan pengumuman itu, Rashid menyertai senarai wakil rakyat Bersatu yang menyuarakan sokongan kepada kerajaan hari ini dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tanpa meninggalkan Bersatu.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Bersatu meminda perlembagaan parti itu minggu lepas bagi menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa akan datang.

Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 56 kerusi, dengan 22 daripadanya dimenangi PN yang terdiri daripada PAS dan Bersatu.

Lihat Komen
ADS