Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dong Zong selar profesor dakwa 'sekolah Cina semai perkauman'
Diterbitkan:  Mar 7, 2024 12:23 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyelar ahli akademik Teo Kok Seong susulan kenyataannya mengenai 'sekolah Cina menyemai benih perkauman'.

Dong Zong menggesa pihak berkuasa memandang serius kenyataan oleh felo Majlis Profesor Negara itu serta mengambil tindakan terhadapnya.

Presiden Dong Zong Tan Tai Kim (gambar judul) berkata ini bukan kali pertama Teo membuat kenyataan yang disifatkan menjejaskan perpaduan nasional serta tidak mengendahkan usaha pendidik lain.

Kata Tan, banyak pertubuhan pendidikan telah memberikan penilaian yang lebih neutral dan rasional terhadap sekolah Cina, di mana organisasi ini lebih berwibawa dan perwakilan berbanding Teo.

Felo Majlis Profesor Negara Teo Kok Seong.

"Majlis Profesor Negara, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), dan Persatuan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) telah menyatakan pendapat yang adil dan rasional tentang sekolah Cina.

"Pandangan ini, berbanding pendapat peribadi Teo, lebih representatif dan mencerminkan sentimen positif ramai ibu bapa Melayu terhadap sekolah Cina," katanya memberitahu Malaysiakini.

Dalam pada itu, Tan menyeru warga pendidik untuk terus memupuk perpaduan dalam generasi pelapis.

"Melihat sektor pendidikan, Teo adalah seorang cendekiawan yang hebat. Ketika ramai pendidik dari pelbagai latar belakang etnik berusaha ke arah membina Malaysia yang majmuk dan harmoni, beliau sering membuat kenyataan yang menjejaskan perpaduan negara."

"Kerajaan Madani sememangnya harus menangani kenyataan sedemikian dan menyiasat secara aktif untuk memupuk kebebasan bersuara yang sihat."

"Kami menyeru semua warga pendidik dari pelbagai sekolah untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka, memupuk generasi pelapis yang harmoni dan berilmu untuk negara," katanya.

'Asimilasi lebih baik'

Dalam video TikTok yang disiarkan The Merdeka Times baru-baru ini, profesor itu mendakwa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) boleh menjadi batu penghalang kepada perpaduan negara kerana pelajar Cina yang kurang cerdik hanya boleh menguasai bahasa Mandarin, menghalang komunikasi dengan kaum lain.

Teo (gambar atas) yang dilahirkan di Kelantan mendakwa masyarakat peranakannya pernah menghadapi diskriminasi daripada majoriti kaum Cina yang tidak berasimilasi dengan budaya tempatan.

"Salah satu punca adalah orang Cina memandang rendah terhadap orang Melayu.

“Mereka enggan berintegrasi,” katanya.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menganggah kenyataan Teo dan meminta polis menyiasat felo Majlis Profesor Negara itu.

Semasa perbahasan parlimen, Kok (gambar atas) menyoal kriteria polis untuk menyiasat ahli politik, dengan membezakan isu Teo dengan siasatan yang dibuka terhadap rakan-rakan partinya Lim Kit Siang dan Tony Pua.

Dalam perkembangan berkaitan, Teo kemudian mempertahankan dakwaan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi punca perpecahan kaum di negara in

Dia juga mendakwa Teresa berada dalam “penafian” terhadap realiti sebenar komuniti Cina di Malaysia.

“Bagi saya apa yang saya katakan itu semuanya betul, ia realiti dalam perbualan sesama orang Cina,” katanya kepada Malaysiakini.

Perdebatan masih berlanjutan dengan Teresa menggelarkan desakan Teo terhadap kenyataannya itu, sebagai "ucapan kebencian perkauman" yang boleh menyebabkan perpecahan antara masyarakat.

Pemimpin DAP itu berkata kenyataan Teo merugikan prinsip perpaduan dan keterangkuman yang harus ditegakkan dalam masyarakat majmuk.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS