Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afif: Sokongan Rashid pada Amirudin tak lemahkan Bersatu S'gor

Tindakan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah sesuatu yang mengecewakan namun tidak melemahkan Bersatu di Selangor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, kedudukan Bersatu di Selangor tetap kukuh meskipun Rashid mengumumkan sokongan kepada Amirudin.

"Tindakan Yang Berhormat Selat Klang itu tentunya mengecewakan kami dan juga mengecewakan pengundi-pengundi Selat Klang.

"Tapi, kami tetap teruskan kerja dan khidmat kami di sana dan juga mewakili rakyat negeri Selangor. Sebenarnya banyak lagi tokoh baru yang akan kita tampilkan dari semasa ke semasa.

"Hakikatnya (tindakan Abdul Rashid) tiada kesan, lebih kepada keputusan peribadi," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Abdul Rashid dalam satu kenyataan menyatakan sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, yang juga pemimpin PKR.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan.

“Ini setelah saya meneliti ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini juga adalah akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.

“Ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam,” katanya.

Bersatu pada 2 Mac lalu meminda perlembagaan partinya dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah.

Mengulas lanjut Afif yang juga Adun Taman Medan berkata, kepimpinan parti akan membincangkan isu Abdul Rashid sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Kita akan hantar juga notis selepas keputusan pindaan perlembagaan tempoh hari...perkara ini masih lagi dibincangkan di peringkat majlis tertinggi parti untuk kita buat keputusan," katanya.

Lihat Komen
ADS