Apakah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sedang sakit kuat? Dan apakah pemangku Ketua Menteri akan dilantik sementara beliau menerima rawatan di luar negeri?

Ini adalah persoalan yang diperkatakan di Sarawak sejak 24 jam lalu mengenai Taib, yang telah menerajui the state sejak lebih 25 tahun lalu.

Pemimpin PBB telah berkejar ke Australia untuk menemui Taib ketika khabar angin bertiup kencang yang beliau akan mengumumkan rancangan penggantiannya dan seorang pemangku ketua menteri akan dilantik tidak lama lagi.

Pemimpin Melayu dalam PBB, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Abang Johari, Naib Presiden kanan, Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Awang Asfia Awang Nassar, telahpun berlepas ke Australia awal minggu ini.

Juga pergi bersama mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu, Datuk Adenan Satem, salah seorang calon pengganti Taib.

Taib, yang menyambut harijadinya Mei lalu, dilaporkan berada di Adelaide di mana beliau dijemput menghadiri majlis perpisahan Gobenor Selatan Australia, Marjorie Jackson-Nelson, yang akan bersara hujung bulan ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Alfred Jabu juga telah berlepas ke Kuala Lumpur pada malam Selasa, dan beliau dilaporkan dalam perjalanan ke Australia untuk bertemu dengan Taib.

Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 1981 selepas menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yakub.

Sumber-sumber yang rapat dengan keluarga Taib dan Abdul Rahman berkata "Taib sedang sakit".

Taib pernah menjalani pembedahan tahun lalu untuk rawatan barah kolon di Singapura dan sejak kebelakangan ini beliau jarang muncul di khalayak ramai.

"Ada tanda-tanda pemangku ketua menteri mungkin dilantik tidak lama lagi," kata sumber-sumber itu.

Bagaimanapun, ramai rakyat Sarawak yang masih tidak menyedari ramai pemimpin utama negeri telah ke Australia. Panggilan yang dibuat kepada ahli-ahli politik utama PBB tidak berjawab.

Malah, bekas pemimpin kanan PBB tidak tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku.

"Apa yang pasti - sesuatu telah berlaku. Sama ada Taib sakit kuat ataupun apa juga sebabnya, beliau nampaknya telah memutuskan untuk bersara," kata seorang bekas pemimpin kanan PBB kepada malaysiakini.

Terdapat juga khabar bahawa hubungan Taib dengan pemimpin pusat tidak begitu baik dan terdapat tanda-tanda yang Kuala Lumpur mengenakan tekanan ke atasnya supaya bersara dan menyerahkan kuasa kepada pemimpin muda.

Seorang pembantu politik Taib memberitahu malaysiakini bahawa "Taib mungkin merajuk dengan pemimpin pusat berhubung beberapa perkara-perkara tertentu."

Difahamkan Taib tidak senang dengan usaha bersungguh-sungguh sekumpulan rakyat Sarawak yang diketuai seorang ahli perniagaan Melayu tempatan, Affendi Jeman untuk membawa Umno ke Sarawak.

Usaha itu ditentang oleh pemimpin PBB yang menyifatkan usaha itu tidak direstui pemimpin tertinggi Umno.

Di pejabat penaja Umno Sarawak di Matang Jaya, tidak jauh dari Kuching, Effendi meletakkan gambar di mejanya yang menunjukkan beliau dan pemimpin Umno tertentu sewaktu pilihanraya kecil di Semenanjung baru-baru ini.

Bendera Umno juga dikibarkan di banyak perkampungan Dayak dan Melayu di seluruh Sarawak manakala lebih 100 cawangan penaja Umno telah ditubuhkan sehingga ini.

"Kontena berisi bendera Umno yang dicetak di China, telah dibawa ke Sarawak," kata satu sumber.

Media tempatan di Sarawak tidak melaporkan mengenai apa yang sedang berlaku, termasuk pemergian pemimpin PBB dan para menteri ke Australia.

Bagaimanapun, ramai editor media tempatan menyedari apa yang sedang berlaku dan menjangka suatu pengumuman penting akan dibuat tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan berkata Taib kini dalam 'keadaan sihat walafiat'.

Chan, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Alam Sarawak di Kuching hari ini, mengesahkan Taib berada di Australia atas urusan rasmi dan akan pulang tidak lama lagi.

Buat masa, katanya, tiada maklumat atau petanda bahawa Taib sakit.

Chan juga berkata, beliau telah bercakap dengan setiausaha Taib hari ini dan beliau tidak menyebut apa-apa mengenai keadaan kesihatan Taib.