Azilah tidak pernah lakukan letupan, kata pegawai
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak pernah diarah meledakkan bahan letupan dalam mana-mana operasi Unit Tindakan Khas sejak dia berkhidmat dengan unit itu empat tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak pernah diarah meledakkan bahan letupan dalam mana-mana operasi Unit Tindakan Khas sejak dia berkhidmat dengan unit itu empat tahun lalu.
DSP M.V Sri Kumar, 41, seorang pegawai latihan UTK, berkata Azilah juga tidak mempunyai kemahiran untuk membuat letupan "pecah masuk", demikian menurut laporan Bernama.
Ketika memberi keterangan pada hari ke-18 perbicaraan kes itu, Sri Kumar berkata seorang lagi anggota UTK, Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua, juga tidak mempunyai kemahiran mengendali bahan letupan.
Kedua-dua tertuduh itu hanya menjalani latihan asas pendendalian bahan letupan ketika mula menyertai UTK tetapi mereka mungkin telah menjalani latihan melibatkan bahan letupan di masa lain semasa perkhidmatan, katanya ketika pemeriksaan balas oleh Hazman Ahmad, peguam yang mewakili Azilah.
Sri Kumar, yang menyertai UTK pada 20 Jun 1992, berkata bahawa pada peringkat latihan asas, Azilah dan Sirul Azhar hanya didedahkan tentang pengendalian bahan letupan, tetapi bahan letupan diselia oleh seorang ketua kumpulan.
Azilah, 30, dan Sirul Azhar, 35, dituduh membunuh Altantuya, 28, di sini antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006, manakala penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, pula dituduh bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan itu.
Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, mengenai latihan asas yang dijalankan di UTK, Sri Kumar berkata bahawa dalam latihan itu anggota akan didedahkan dengan teori yang merangkumi bahan letupan itu sendiri, pendawaian dan keselamatan.
"Setelah habis teori, pelatih akan dibawa ke medan letupan dan masing-masing akan diberi sejumlah kecil bahan letupan. Pelatih akan ledakkannya sama ada satu seorang atau dua orang sekali di hadapan jurulatih.
"Setelah letupan berlaku, pelatih dan jurulatih akan periksa kesan letupan.
"Pelatih biasanya dinasihatkan untuk mencatit langkah-langkah yang beliau ambil dari awal hingga sempurnanya letupan," katanya.
Noorin: "Bagaimana semasa operasi? Siapa yang tentukan bahan letupan diberikan atau tidak diberikan?"
Sri Kumar: "Pegawai team masing-masing akan pilih anggota yang akan kendalikan bahan letupan dan akan tentukan jenis yang dibawa."
Noorin: "Setelah tamat latihan atau sesuatu operasi yang melibatkan pengeluaran bahan letupan, apakah prosedur yang harus diikuti?"
Sri Kumar: "Apabila bahan letupan habis digunakan, ia tamat di situ. Jika tidak habis, pegawai yang isi borang atau anggota yang ambil bahan, harus pulangkannya semula kepada stor."
Ketika ditanya sama ada sekiranya terdapat lebihan bahan letupan dan aksesori, iaitu alatan lain untuk letupan, ia boleh diambil oleh anggota dalam kumpulan tanpa disedari, Sri Kumar berkata pegawai pemohon yang telah meminta `plastic explosives' (sejenis bahan letupan) contohnya seberat 500 gm dan tidak gunakannya, beratnya hendaklah juga 500gm apabila dipulangkan kepada stor.
Sri Kumar berkata jika bahan letupan itu telah digunakan dan terdapat lebihan daripadanya ia sepatutnya dipulangkan semula ke stor.
"Untuk `plastic explosives' atau PE semasa operasi ia tidak dibawa dalam bentuk asal. Biasanya telah dibentuk dari awal sebelum dibawa untuk operasi.
"Jadi pegawai yang menyelia bahan letupan ini akan bawa bahan yang sudah dibentuk ini (dipanggil shape charge) untuk operasi. Jika tidak digunakan, shape charge ini akan dipulangkan ke stor dalam bentuk yang sama," katanya.
Sri Kumar berkata bahawa ketika latihan dan operasi yang dijalankan di bawah seliaannya, tiada sebarang kemungkinan kehilangan bahan letupan "walau secebis sekalipun".
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada berlaku kehilangan bahan itu semasa di bawah seliaan pegawai atasan yang lain.
Pada awal prosiding, mahkamah diterangkan tentang jenis bahan letupan yang digunakan oleh UTK dan bagaimana ia berfungsi, sehingga mendorong Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin untuk mencelah dengan menyatakan prosiding hari ini seperti `belajar teori letupan.'
Sri Kumar berkata bahan letupan yang digunakan dan disimpan di stor UTK antaranya ialah PE, alat peletup, wayar peletup dan beberapa alat bunyi.
Mengenai bahan letupan C4, saksi itu berkata ia adalah campuran daripada empat bahan yang digunakan untuk membuat letupan itu sendiri tetapi bahan letupan itu tidak terdapat di UTK.

