Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kita dah anggap wakil rakyat di tujuh kerusi itu dah mati'

Sepatutnya ada 292 wakil rakyat PN berkumpul di Kuala Lumpur pada hari ini untuk mendengar kata-kata daripada para pemimpin mereka.

Namun pada akhirnya hanya ada 220 yang datang. Daripada jumlah itu pula, ada tujuh yang sengaja tidak dijemput untuk menyertai Konvensyen Wakil Rakyat PN hari ini.

Alasannya - mereka dianggap "sudah mati" dan "tali barut" oleh parti.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata tiada keperluan untuk PN mempelawa tujuh wakil rakyat terbabit kerana mereka sudah berpaling tadah dengan memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

"Kita (PN) dah anggap wakil rakyat di tujuh kerusi itu sudah mati. Kita tunggu pilihan raya saja.

"Mereka tali barut, nak jemput buat apa?" katanya.

Antara pemimpin utama PN yang hadir hari ini ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Selain itu konvensyen berkenaan juga disertai semua menteri besar PN kecuali Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor).

PN mengalami isu dalaman baru-baru ini apabila tujuh orang wakil rakyat parti itu membuat keputusan sendiri dengan mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Daripada tujuh berbuat demikian setakat ini, hanya seorang melibatkan Adun.

Dia ialah Abdul Rashid Asari, yang kini menjadi Adun Selat Kelang, dan pernah dilantik menjadi pengerusi Bersatu Selangor.

Enam yang lain merupakan ahli parlimen.

Sementara itu mengulas mengenai Bersatu, Razali berkata, dalam peruntukan perlembagaan yang dipinda baru-baru ini, ada menyatakan bahawa seseorang wakil rakyat parti itu yang tidak patuh pada arahan majlis pimpinan tertinggi (MPT) akan menyebabkan keahliannya terhenti serta-merta.

"Pindaan yang dibuat ditujukan kepada semua ahli. Jadi, kalau ikut (pindaan) nanti keahlian mereka boleh dikira terhenti.

"Apabila terhenti (keahlian), kerusi mereka menjadi kosong," katanya.

Exco Terengganu itu menambah, keanggotaan ahli Bersatu yang membawa isu dalaman parti ke mahkamah juga akan turut terbatal secara automatik.

Lihat Komen
ADS