Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kantin sekolah mesti dibuka seperti biasa sepanjang Ramadan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan kantin sekolah akan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata adalah penting proses untuk memahamkan pelajar bukan Islam mengenai ibadah yang dijalani rakan beragama Islam agar mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan

"Kantin mesti dibuka. Kedua mesti ada dari segi pendidikan berkaitan dengan ke arah dan hormat khususnya sekolah-sekolah yang mempunyai anak-anak yang bukan Islam.

"Jadi proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati antara satu sama lain sangat penting,” katanya kepada pemberita di sebuah sekolah di Puchong, ketika pelajar memasuki hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sikap hormat-menghormati perlu dilakukan melalui proses dua hala bagi mewujudkan persefahaman yang sihat dalam kalangan pelajar dan guru.

"Jadi saya ingat dalam proses itu guru-guru mempunyai pengalaman untuk menguruskan sebarang isu atau pun dari segi penghormatan itu diberikan oleh semua pihak,” katanya lagi.

Sebelum ini, agensi berita nasional Bernama melaporkan Fadhlina menasihatkan pengusaha kantin sekolah untuk terus meneruskan operasi sepanjang bulan Ramadan walaupun sekolah berkenaan mempunyai kurang daripada 10 peratus pelajar bukan Islam.

Dia berkata ini kerana tidak semua kanak-kanak Islam diwajibkan berpuasa terutama pada usia awal selain menghormati orang bukan Islam pada Ramadan.

Fadhlina berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) supaya kantin sekolah tidak dibuka pada bulan Ramadan sekiranya sekolah berkenaan mempunyai kurang daripada 10 peratus pelajar bukan Islam.

Laporan media memetik Setiausaha Agung PPKSM Siti Normah Md Desa sebagai berkata Kementerian Pendidikan harus membenarkan keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan pihak pentadbiran sekolah dan pengusaha kantin mengikut keperluan pelajar.

Katanya, sekiranya kantin sekolah tetap dibuka, pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang tidak dapat ditanggung oleh nilai jualan yang diperoleh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS