AMK: Alasan kjaan tolak tuntutan MTUC lemah
Angkatan Muda Keadilan (AMK) dukacita dengan keputusan kerajaan menolak pelaksanaan gaji minimum RM900 dan elaun sara hidup (COLA) RM300 seperti yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Angkatan Muda Keadilan (AMK) dukacita dengan keputusan kerajaan menolak pelaksanaan gaji minimum RM900 dan elaun sara hidup (COLA) RM300 seperti yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Pergerakan itu juga menyifatkan alasan yang diberikan oleh kerajaan ketika menolak tuntutan MTUC itu sebagai lemah.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, kerajaan terus memberi alasan demi alasan ketika rakyat ditekan dengan pelbagai kenaikan harga barangan yang menjurus kepada meningkatnya kadar inflasi.
"AMK dengan tegas menyatakan bahawa pendekatan kerajaan menolak gesaan MTUC ini jelas membuktikan bahawa kelemahan tadbir urus yang begitu ketara.
"Kini jelas terbukti di bawah kerajaan yang sedia ada, golongan pekerja akan terus tertindas dan merempat di bumi sendiri kerana mereka gagal membela kepedulian rakyat keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Shamsul berkata, persoalan penting yang ingin AMK bangkitkan ialah mengapa kerajaan sedia mempertimbangkan kenaikan gaji pekerja sektor awam, tetapi terus berdolak dalih untuk menaikkan gaji pekerja sektor swasta.
Katanya, kerajaan turut mendakwa tidak semua negara maju memberi gaji minimum kepada pekerjanya dengan mengambil contoh Amerika Syarikat, Britain dan Australia yang membayar gaji mengikut tempoh jam bekerja.
Pekerja asing
Tetapi, katanya, sedarkah bahawa di Australia, gaji minimum ditetapkan AUD$13.47 sejam dan AUD$511.86 seminggu, bersamaan RM1,502.15 seminggu.
"Manakala di Britain pula kadar gaji minimum adalah 5.35 sejam dan 203.30 seminggu, bersamaan RM1,406.80 seminggu," katanya.
Shamsul berkata, MTUC hanya menuntut RM1,200 sebulan iaitu bersama seminggu dengan gaji minimum di negara-negara maju.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan lebih mengutamakan projek mega dan kehendak dua-tiga kerat elik politik daripada memikirkan kebajikan pekerja yang kian menderita.
"Kos penggajian pekerja asing tidak meningkat dengan perlaksanaan gaji minimum jika kos pengurusan visa,permit kerja dan levi mereka diambil kira.
"Justeru itu tidak timbul sama sekali syarikat tempatan akan gulung tikar seandainya gaji minimum dilaksanakan.
"Sebaliknya kerajaan masih bersikap pesimis dengan segala cadangan balas dan hujah analitikal yang dikemukakan oleh MTUC dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

