Kjaan digesa tubuh suruhanjaya bebas kaji DEB
Kerajaan digesa menubuhkan suruhanjaya bebas untuk mengkaji secara terbuka dan telus, tanpa unsur-unsur politik terhadap dasar-dasar yang sedang dilaksanakan yang berkaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Kerajaan digesa menubuhkan suruhanjaya bebas untuk mengkaji secara terbuka dan telus, tanpa unsur-unsur politik terhadap dasar-dasar yang sedang dilaksanakan yang berkaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Ketika membuat gesaan tersebut, penganalisa politik, Dr Lim Teck Ghee berkata, suruhanjaya berkenaan boleh mengkaji kesan dasar-dasar tersebut terhadap perpaduan masyarakat, isu pengagihan dan persaingan dalam bidang ekonomi.
Dr Lim adalah bekas pengarah pusat pengajian dasar awam Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli).
Beliau mencadangkan suruhanjaya tersebut dianggotai wakil pelbagai sektor ekonomi dan masyarakat di negara ini, dengan tugas untuk menyediakan perakuan dan syor-syor sama ada untuk mengekal, memperhalusi atau memansuhkan dasar dan program berkaitan dengan DEB.
Dalam satu kenyataan, Dr Lim menegaskan, penubuhan suruhanjaya itu amat perlukan memandangkan ramai pakar yang berpendapat DEB yang pada masa ini memberi kesan kepada hampir kesemua pembangunan sumber manusia dan ekonomi menjadi penghalang utama Malaysia lebih berdayasaing, perpaduan masyarakat dan mencapai matlamat Wawasan 2020.
Khususnya, kata beliau, DEB mempunyai ruang kepada gejala rasuah kerana ia mendorong kepada pengagihan yang tidak adil yang memberi keistimewaan kepada sesetengah golongan elit bumiputera dan bukan bumiputera.
Penghijrahan cerdik pandai
Di samping itu, katanya, telah terbukti bahawa kerana DEB, para pelabur tempatan dan asing tidak berminat menjalankan perniagaan di negara ini kerana syarat-syarat ekuiti dan kepeluaran lain yang menguntung Bumiputera.
Dasar-dasar itu juga, tambah Dr Lim, turut memberi kesan buruk kerana ia menjadi penghalang untuk membolehkan Bumiputera berdikari dan bersedia berdepan dengan persaingan terbuka.
Pada masa yang sama, katanya, ia juga melemahkan semangat dan motivasi untuk bukan Bumiputera dan mengakibatkan berlakunya penghijran cerdik pandai ke luar negeri.
Katanya, ia juga mendorongkan pelabur tempatan dan asing untuk mewujudkan 'sistem di luar sistem' untuk memintasi DEB.
Oleh itu, katanya, bagi memastikan Malaysia mencapai status negara maju pada 2020, maka adalah sangat mustahak bagi negara mencapai kadar pertubuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang stabil dalam tempoh masa pendek, sederhana dan jangka panjang.
Katanya, jika Malaysia terus melaksanakan dasar dan program yang berkaitan DEB, maka kerajaan tidak harus terperanjat jika berlaku kemorosotan kadar pertumbuhan KDNK, pelaburan asing, kadar pengangguran meningkat dan berlakunya lain-lain gejala sosial, terutama apabila pendapatan dari minyak negara sudah kehabisan.

