Ahli perniagaan saman CTOS RM100 juta
Seorang ahli perniagaan memfailkan saman malu RM100 juta terhadap Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) hari ini atas dakwaan memfitnah sehingga menyebabkan namanya disenaraihitam daripada mendapat pinjaman institusi kewangan.
Seorang ahli perniagaan memfailkan saman malu RM100 juta terhadap Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) hari ini atas dakwaan memfitnah sehingga menyebabkan namanya disenaraihitam daripada mendapat pinjaman institusi kewangan.
Seeni Mohamad Mohamed Ali, 42, dari Subang Jaya turut menamakan tiga lagi syarikat bersekutu - CTOS Data Systems Sdn Bhd, CTOS-EMR Sdn Bhd, CTOS Business Systems Sdn Bhd serta dua pengarahnya Chung Tze Keong, 52, dan adiknya Chung Tze Wen, 49 - sebagai defendan.
Seeni Mohamad memfailkan saman dan tuntutan itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melalui firma guaman Joshua Sambanthan & Associates, demikian menurut laporan Bernama.
Pada 6 Julai lalu, seorang kakitangan Jabatan Kesihatan dari Rompin, Pahang, menyaman syarikat berkenaan RM2 juta kerana cuai sehingga beliau disenaraihitamkan manakala seorang bekas eksekutif kanan Petronas pula memfailkan saman fitnah RM500,000 pada Rabu lalu atas sebab serupa.
Seeni Mohamad dalam tuntutannya mendakwa beliau menyedari namanya disenarai hitam apabila Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad menolak permohonan pinjaman untuk membeli kereta pada 17 Julai tahun lalu.
Beliau juga mendakwa gagal mendapatkan pinjaman daripada Eon Finance Berhad (kini dikenali sebagai EON Bank berhad) dan khidmat kad kredit Southern Bank Berhad.
Seeni Mohamad seterusnya mendakwa tindakan defendan mendedah dan memaklumkan butiran kedudukan kewangan beliau tanpa persetujuannya telah benar-benar memfitnahkannya.
Pohon deklarasi mahkaman
Plaintif mendakwa tindakan CTOS memberi gambaran seolah-olah beliau adalah seorang pembohong dan tidak bertanggungjawab dalam melangsaikan hutangnya.
Plaintif mendakwa sebelum ini beliau mempunyai satu tuntutan guaman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sehingga masih belum diputuskan mahkamah dan CTOS telah menggunakan tuntutan sivil tersebut dalam menyenaraihitamkan namanya.
Plaintif berkata peguamnya telah memaklumkan kepada defendan pertama untuk mengemaskini datanya tetapi sehingga hari ini syarikat itu masih gagal berbuat demikian.
Dalam tuntuan itu, plaintif menuntut gantirugi teladan, gantirugi teruk dan gantirugi am, selain gantirugi RM100 juta itu.
Plaintif juga memohon suatu deklarasi daripada mahkamah untuk memerintahkan kesemua defendan mengeluarkan atau memadamkan namanya daripada data mereka.
Seeni Mohamad ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata semakan beliau menunjukkan namanya disenarai hitam oleh CTOS dan institusi kewangan telah menggunakan perkhidmatan data yang disediakan oleh syarikat tersebut.

