Lebih 100 orang yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Abdul Rahman Palit mengadakan piket secara aman buat kali ketiga bagi mendesak pihak berkuasa menutup pusat ternakan babi di daerah Masjid Tanah, kelmarin.

Piket tersebut diadakan di Sungai Tuan, kawasan ternakan babi utama di dalam kawasan Masjid Tanah oleh penduduk, ahli Umno dan pengusaha calet kampung berdekatan, Melaka Tengah.

Selain Sungai Tuan, pusat ternakan babi lain di kawasan Masjid Tanah ialah Paya Mengkuang, Londang dan Kampung Man Lok dengan jumlah ternakan keseluruhan kira-kira 150,000 ekor.

Abdul Rahman berkata, ini merupakan piket kali ketiga yang diadakan oleh penduduk terutama orang Melayu kerana telah hilang sabar dengan pembiakan babi di kawasan tersebut kerana melebih keperluan sebenar.

"Beberapa siri piket lagi akan diadakan jika penternak masih tidak mahu menutup ladang babi mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, keperluan babi bagi seluruh Melaka ialah kira-kira 48,000 ekor tetapi jumlah ternakan ialah 150,000 ekor.

"Kami hairan mengapa pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Tanah masih membenarkan ladang beroperasi.

Peniaga gerai terjejas

"Ladang tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan. Air buangan najis tidak diproses terlebih dahulu menyebabkan menimbulkan bau kepada hampir 10,000 penduduk di DUN Kuala Linggi dan DUN Tanjung Bidara.

Abdul Rahman berkata, berikutan pencemaran bau dan Sungai Linggi yang semakin serius, penduduk malu jika tetamu luar Melaka datang ke kampung mereka.

Perniagaan makanan di sepanjang pantai Tanjung Bidara yang tidak jauh dari Paya Mengkuang merosot teruk kerana pelanggan tidak mahu datang kerana pencemaran bau najis babi di kawasan kedai mereka.

Katanya, peniaga bimbang jika masalah berterusan, mereka terpaksa tutup kedai kerana ketiadaan pelanggan.

Sementara itu seorang penternak babi memberitahu malaysiakini, ladang mereka bukan faktor yang menyebabkan berlaku pencemaran bau dan najis di kawasan Kuala Linggi dan Tanjung Bidara.

Sebaliknya, katanya, para penternak telah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MPAG.