Penyelenggara lamanweb PKR ditahan reman
Polis telah memperolehi perintah tahanan reman selama empat hari terhadap seorang kakitangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nathaniel Tan dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Polis telah memperolehi perintah tahanan reman selama empat hari terhadap seorang kakitangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nathaniel Tan dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Polis pada mulanya memohon untuk mendapatkan perintah reman selama 14 hari.
Pegawai penyiasat, DSP Victor Sanjos, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa Tan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.
Jika sabit kesalahan, Tan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak melebihi tujuh tahun.
Menurut sumber-sumber polis, Tan sedang disiasat berhubung siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom.
Sebelum ini, Peguam Negara mengarahkan siasatan terhadap Johari ditutup kerana tiada bukti untuk mengaitkannya dengan laporan sebuah lamanweb yang mendakwa timbalan menteri itu menerima sogokan berjuta-juta ringgit untuk membebaskan beberapa tahanan Ordinan Darurat (OD).
Peguam Tan - Latheefa Koya memberitahu malaysiakini bahawa polis sedang menyiasat komen seorang individu yang disiarkan dalam blog Tan.
Ditahan semalam
Nathaniel Tan, 26, dibawa oleh tiga anggota polis berpakaian biasa dari pejabat sebuah badan bukan kerajaan, Yayasan Aman di Petaling Jaya, petang semalam.
Menurut saksi, anggota polis berkenaan tidak memberi sebarang alasan ketika meminta Tan mengikut mereka.
Mereka berkata, anggota polis itu datang ke pejabat berkenaan pada jam 4.45 petang dan meminta Tan mengikut mereka ke Bukit Aman untuk disoalsiasat.
Anggota polis berkenaan juga meminta Tan membawa bersama komputer ribanya. Dipercayai Tan disoalsiasat berhubung beberapa tulisan di Internet. Tan, graduan Universiti Harvard, juga merupakan seorang bloger terkemuka.
Menurut satu kenyataan PKR, Tan juga bekerja di Yayasan Masa Depan sebagai setiausaha kepada Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pengerusi yayasan tersebut.
Pada jam 10 malam tadi, pihak polis mengesahkan bahawa Tan sedang ditahan di Bukit Aman.
Anggota keluarnya dan sekumpulan 20 orang penyokong telah berkumpul di luar ibupejabat polis itu, termasuk yang membawa plakad mendesak supaya Tan dibebaskan.
Menurut polis, Tan akan ditahan selama 24 jam oleh Unit Jenayah Siber di Jalan Dato Onn untuk membantu siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Tan kemudiannya dipindahkan ke balai polis Dang Wangi dan dijangka dihadapkan ke mahkamah majistret untuk ditahan reman pada kira-kira jam 4.30 petang esok.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua mendakwa kerajaan telah menyalahgunakan kuasanya untuk menyekat kebebasan bersuara.
Tidak diketahui apakah kesalahan yang dilakukan Tan sehingga disiasat di bawah OSA. Sebelum itu, polis telah pergi ke rumah Tan dan merampas komputernya.
Mereka yang didapati bersalah di bawah Akta tersebut boleh dihukum penjara mandatori sekurang-kurangnya setahun hingga maksimum tujuh tahun. Berita asal

