Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetap relevan untuk dihayati, terutamanya dalam pengukuhan ekonomi orang Melayu, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, katanya, kaum lain tidak perlu berasa bimbang seolah-olah DEB menyebabkan mereka kehilangan hak.

Sebaliknya, kata beliau lagi, mereka perlu benar-benar memahami kandungan DEB yang terbukti bukan sahaja memajukan kaum Melayu bahkan sesuai diamalkan dalam negara berbilang kaum, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, semangat DEB tetap releven walaupun tempohnya sudah lama berlalu dan kini digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional.

"Tidak salah kalau kita amalkan semangat ini walaupun masyarakat bukan Melayu menganggap ianya sensitif.

"Mereka tidak faham dasar ini penting dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang di Johor Bahru hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan pemimpin dan generasi muda supaya terus menyemarakkan semangat DEB bagi terus mencapai kemajuan bangsa dan negara.

Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata walaupun negara dilihat aman dan maju namun penguasaan ekonomi orang Melayu masih lemah dan masih jauh dari 30 peratus penguasaan yang disasarkan.

Justeru katanya, generasi muda tidak seharusnya mengambil sikap enteng sebaliknya sentiasa memiliki daya juang dan tanpa semangat DEB tidak mustahil fikiran orang Melayu dan generasi muda akan lemah seterusnya gagal mempertahankan kaum.

"Kalau tiada semangat juang macam mana kita nak pertahankan negara? Saya bimbang semangat kita akan luntur. Ada orang kata buat apa nak risau?," katanya.

Bagaimanapun , katanya, mereka ini tidak sedar bahawa tiada yang akan kekal selama-lamanya.