Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud tiba dari Australia tengah malam tadi dalam keadaan sihat dan ceria.

Menurut laporan Bernama , ia sekaligus menafikan khabar angin yang mengatakan beliau sedang sakit.

Taib yang ditemani isterinya, Puan Sri Laila Taib, kelihatan tersenyum dan melambaikan tangannya kepada pihak media yang menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sebaik sahaja beliau tiba jam 12.05 tengah malam.

Beliau bagaimanapun tidak bercakap kepada pemberita yang menunggunya di lapangan terbang tersebut.

Mereka menunggu kepulangan Taib sejak jam 9.30 malam selepas mendapat maklumat tentang kepulangan beliau dari Adelaide, Australia.

Khamis lalu Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Dr George Chan membuat kenyataan menafikan khabar angin tentang keadaan Taib yang dikatakan 'sakit tenat' seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini minggu lalu.

Sementara itu, Abdul Taib menghadiri majlis menanam pokok sempena pembinaan bangunan baru Cats FM, sebuah stesen radio swasta di Kuching, milik Kristal Harta Sdn Bhd, yang berpejabat di Sarawak.

Abdul Taib, yang kelihatan ceria ketika ditemui pemberita, sempat bergurau dan meminta mereka menilai sendiri keadaan kesihatannya.

Diminta mengulas laporan malaysiakini, kononnya beliau "sakit teruk", Abdul Taib yang pulang tengah malam tadi, berkata beliau tidak berminat untuk mengulas laporan itu.

"Saya tak mahu komen. Awak percaya kepada mata awak atau kepada propaganda sesetengah parti politik?" katanya selepas majlis tersebut.

Ditanya tentang lawatannya ke Australia, Abdul Taib berkata beliau pergi ke sana bagi memenuhi undangan Gabenor Australia Selatan Marjorie Jackson-Nelson ke suatu majlis perpisahan.

"Beliau kawan baik saya dan negeri kita," kata Abdul Taib sebelum menyambung bahawa beliau tidak tergamak menolak jemputan itu disebabkan oleh hubungan akrab yang terjalin antara Sarawak dan Australia Selatan sejak beberapa tahun lalu.

Selepas ke Australia, beliau menghadiri sambutan ulangtahun keputeraan ke-61 Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Bandar Seri Begawan.