Pembangunan di bandar mesti untungkan orang Melayu, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata beliau akan menentang sebarang projek pembangunan di kawasan bandar yang tidak memberi keuntungan kepada orang Melayu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata beliau akan menentang sebarang projek pembangunan di kawasan bandar yang tidak memberi keuntungan kepada orang Melayu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pembangunan di kawasan bandar perlu memberi manfaat kepada orang Melayu secara keseluruhannya.
Tiada maknanya pembangunan di bandar jika ia tidak boleh dinikmati oleh orang Melayu, katanya berucap merasmikan mesyurata agung Umno bahagian
Titiwangsa di ibu negara petang semalam.
.
"Saya akan lihat dan bantu orang Melayu di bandar supaya mereka mendapat manfaat dan maju sebagaimana kaum lain," kata beliau yang juga menteri pertahanan.
Beliau merujuk kepada pembangunan Kampung Baru yang terletak dalam kawasan Parlimen Titiwangsa yang menurutnya untuk kepentingan orang Melayu yang tinggal di bandar.
Kerajaan, katanya, telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta bagi pembangunan Kampang Baru.
Dalam ucapannya, Mohd Najib berkata, Umno perlu kuat kerana ia menentukan jatuh bangun nasib bangsa Melayu.
Boleh tegur pemimpin
"Jika Umno kuat, kuatlah orang Melayu, jika Umno lemah, lemahlah orang Melayu," katanya.
Mohd Najib berkata, Umno bukan sebuah parti politik tetapi merupakan institusi yang paling penting untuk kejayaan orang Melayu.
Katanya, penggantungan orang Melayu kepada Umno boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan, dari pendidikan hingga kepada untuk mengerjakan ibadah haji.
"Oleh itu, jangan rosakkan Umno kerana ia merupakan pusaka yang paling besar nilainya kepada orang Melayu," katanya.
Mohd Najib berkata, ahli Umno boleh menegur pemimpin demi untuk hendak menjaga parti.
Katanya, semangat perjuangan ahli Umno telah berbeza kerana zaman dahulu mereka sanggup berkorban apa sahaja kepada parti.
Tetapi, katanya, kini selaras dengan perkembangan zaman, ia telah berubah dan sekaligus roh semangat mereka sudah tidak sama lagi.

