Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) mengingatkan Pergerakan Pemuda Umno supaya jangan hanya berani menghunus 'keris tidak bersarung' dalam perhimpunan agungnya sahaja untuk membuktikan kesungguhan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Sebaliknya, DPP mencabar Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussin yang berasal daripada Johor, supaya membuktikannya dengan menghalang penghapusan ekuiti 30 peratus milik bumiputra terhadap syarikat yang akan melabur di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Apa maknanya pembangunan sebanyak RM46 bilion dalam WPI jika nasib orang Melayu di Pontian, Gelang Patah, Tanjung Piai, Pasir Gudang, Kulai dan Johor Bahru dikaut oleh orang asing yang melabur di negara ini, khususnya dari Singapura," kata Ketua Penerangan DPP, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Menteri Besar Pahang yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Adnan Yaakub (foto) telah dilaporkan berkata Umno semakin takut untuk menyuarakan perkara sensitif, termasuk isu mencabar kepentingan orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga ada pihak lain berani melakukannya secara terbuka.

"Kenyataan ini dibuat selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri dibangunan baru RTM, Jalan Kamunting dan telah dilaporkan oleh Berita Harian pada 12 Julai 2007.

"Kenyataan beliau itu disokong oleh beberapa pimpinan dan bekas pimpinan Umno, antaranya Tan Sri Megat Junit Bin Megat Ayub (foto); Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Alwi Che Mat," katanya.

Biasiswa jadi pinjaman

Kesimpulannya, kata Suhaizah, pada pandangan pemimpin Umno berkenaan, kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Bawawi yang juga presiden Umno tidak tegas "ataupun perkataan seerti dengannya adalah lemah atau lembab".

Persoalannya, kata beliau, mampukah Umno bertindak lebih tegas dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu atau bumiputera seperti hak mereka untuk mendapat biasiswa seperti dalam perkara 153 perlembagaan Malaysia.

Sebaliknya, kata Suhaizan (foto), Umno yang menerajui Kementerian Pelajaran, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan, telah menukar biasiswa kepada pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Pelajar lepasan universiti yang telah dibekukan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), telah dibebani dengan hutang yang banyak sebelum mereka mendapat pekerjaan.

"Peluang pekerjaan pula semakin sukar pada masakini. Akhirnya mereka menjadi penganggur yang berhutang. Apakah menukar biasiswa kepada pinjaman itu bukan mengkhianati perjuangan Melayu namanya?" soalnya.

Di samping itu, Suhaizan juga mencabar Umno supaya mengembalikan semua tanah rizeb Melayu, mengembalikan pinjaman PTPTN kepada biasiswa, mengambalikan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah, mengekalkan kouta bumiputera dan mengembalikan dasar-dasar yang tegas dalam DEB.