Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Yunos Husin menyerahkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sama ada mahu menangguhkan operasi meroboh sebuah kuil Hindu di Kampung Tambak Paya di Bukit Katil, Melaka Bersejarah.

Beliau berkata, sekumpulan masyarakat India dari kampung tersebut menemuinya Sabtu lalu, dan merayu supaya operasi meroboh kuil tersebut ditangguhkan selama dua minggu lagi atas alasan belum mendapat kawasan sesuai untuk menempatkan kuil tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak setuju kerana tempoh dua minggu terlalu lama, tetapi tidak keberatan jika tempoh penangguhan tidak lebih tempoh seminggu.

"Mereka sudah diberi masa yang mencukupi untuk memindahkan kuil tersebut, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Tempoh dua minggu yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya kuil tersebut dirobohkan berakhir semalam.

Penduduk Islam Kampung Tembok Paya membantah pembesaran kuil tersebut kerana sudah ada dua buah kuil di kampung tersebut.

Suasana harmoni

Yunus berkata, orang Melayu di kampung itu berpendapat, penduduk kaum India di situ tidak ramai dan sudahpun ada dua buah kuil di kampung itu.

Katanya, penduduk Islam di situ mahu kuil tersebut dirobohkan segera sebelum isu itu dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk membakar sentimen perkauman di kalangan penduduk setempat.

"Sudah ada orang dari luar kampung tersebut yang cuba mengapi-apikan penduduk kampung supaya menimbulkan suasana tidak elok di kampung itu," katanya.

Menurutnya, penduduk Islam selama ini tidak pernah membantah aktiviti keagamaan orang Hindu kerana mereka hidup dalam suasana harmoni sejak sekian lama.

Bagaimanapun, katanya, apabila orang Hindu membesarkan sebuah lagi kuil, mereka membantah kerana sudah cukup dengan dua buah kuil sedia ada.

Penduduk Tambak Paya sebelum ini mendakwa mereka tidak mengetahui kewujudan kuil tersebut kerana terlindung di sebalik bengkel tempat menyimban besi buruk.

Kain pemidang

Penduduk hanya tahu apabila bengkel tersebut dirobohkan apabila lesennya tidak disambung oleh MBMB.

"Mula-mula saiznya hanya sebesar sebuah pondok menunggu durian, tetapi ia semakin besar berikutan penganut Hindu yang sebelum ini beribadat di dua kuil yang lain, mula datang ke kuil tersebut," katanya.

Berikutan itu beberapa ahli Pemuda Umno cawangan kampung itu memasang kain pemidang di depan kuil membantah pembesaran kuil tersebut.

Kain pemidang itu berbunyi 'Jangan cabar kesabaran kami' dan 'Robohkan kuil haram ini'.

Bagaimanapun, usaha untuk menghubungi MBBB untuk mendapatkan penjelasan mengenai status kuil tersebut tidak berjaya.