Ahli exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menafikan bahawa beliau membuat pengumuman untuk bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Beliau berkata, laporan itu, yang bertajuk `Mukhriz may go for Youth chief post' membayangkan seolah-olah beliau ada membuat pengumuman untuk bertanding sedangkan beliau tidak pernah membuat pengumuman itu.

"Pada hemat saya belum tiba masanya untuk sesiapa termasuk saya sendiri untuk membuat sebarang pengumuman mengenai pemilihan kepimpinan Pemuda Umno kerana ia akan menjejaskan tumpuan dan mengalih perhatian dari gerak kerja pilihanraya umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bernama, Mukhriz, yang juga pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan pergerakan itu, berkata beliau akan memberi perhatian sepenuhnya dalam membantu Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam gerak kerja parti menghadapi pilihanraya umum nanti.

Akhbar The Star melaporkan bahawa Mukhriz mungkin bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti yang akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Sungai Siput, Mukhriz dilaporkan berkata, apabila terbabit dalam politik, seseorang itu mesti mempunyai cita-cita.

Katanya, beliau berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu mesti bersedia untuk memegang jawatan yang sesuai apabila tiba masanya.

The Star juga memetik Mukhriz sebagai berkata, beliau hanya akan memutuskannya (bertanding jawatan ketua Pemuda) jika berlaku kekosongan dalam jawatan tersebut.

Hishammuddin juga dikatakan akan melepaskan jawatan ketua Pemuda untuk bertanding naib presiden dalam pemilihan parti yang akan datang.