Seorang kakitangan Hotel Malaya memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang aduan daripada wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang menginap di hotel itu pada Oktober 2006.

N Haridharan, 22, petugas bahagian depan hotel itu, berkata sekiranya wanita itu membuat aduan, beliau tentu telah mencatat dan memaklumkannya kepada pengurus hotel, demikian menurut laporan Bernama.

Sebelum itu beliau memberitahu bahawa Altantuya telah mendaftar masuk sekitar 2 pagi pada 9 Oktober 2006.

Bagaimanapun, menerusi borang pendaftaran dan disebabkan dasar hotel, tercatat kemasukan Altantuya sebagai 8 Oktober 2006, katanya ketika disoal oleh Wong Kian Kheong, peguam tertuduh ketiga Abdul Razak Abdullah Baginda pada hari ke-19 perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

Dalam perbicaraan lalu, dua warga Mongolia yang turut bersama Altantuya, iaitu Uuriintuya Gal-Ochir dan Namiraa Gerelmaa, memberitahu mahkamah bahawa penyiasat persendirian Abdul Razak, Suras Kumar, telah mengganggu dan mengugut mereka di hotel itu.

Ketika pemeriksaan utama, Haridharan berkata, Altantuya telah membayar sebanyak RM300 sebagai deposit dan menginap di bilik nombor 817.

Daftar masuk

Katanya, beliau sedang bertugas ketika Altantuya mendaftar masuk dan dia telah menulis maklumat mengenai nama, tarikh, nombor pasport dan tarikh lahir Altantuya.

Pada mulanya wanita itu mendaftar untuk menginap sehingga 10 Oktober tetapi melanjutkannya sehingga 25 Oktober 2006, kata Haridharan.

"Pada 10 Oktober 2006, dia tidak check out . Keesokannya dia sambung penginapan.

"Mengikut satu baucer, dia bercadang untuk check out pada 10 Oktober 2006," kata saksi itu.

Pada sebelah pagi sebelum perbicaraan bermula, beg wartawan dan orang ramai diperiksa di hadapan pintu masuk.

Langkah itu dipercayai bagi mengelak sesiapa merakam imej daripada rakaman CCTV yang dibuat di Hotel Malaya, tempat Altantuya menginap.

Dalam prosiding hari ini juga, pihak pendakwaan dilihat `kelam kabut' dengan peralatan yang sepatutnya mampu memaparkan pergerakan dari imej yang dirakamkan itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin terpaksa menangguhkan perbicaraan itu sebanyak empat kali pada sebelah pagi untuk membolehkan pendakwaan membaiki peralatan itu.

Sebelum prosiding bermula pada sebelah petang pula, pihak pendakwaan bergabung dengan pihak media menggunakan peralatan dari TV3 dibantu oleh jurukamera Bernama, tetapi masih gagal dan Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah akhirnya memohon mahkamah menangguhkan prosiding sehingga esok.

"Kami akan mendapatkan seorang lagi pembekal dan juga bahagian forensik polis untuk rakaman ditunjukkan esok.

"Jika itu juga tak berjaya, kita akan gunakan peralatan forensik PDRM tetapi itu tidak akan menunjukkan tarikh dan masa," kata Tun Abdul Majid.

lapan imej

Sementara itu, mahkamah ditunjukkan lapan imej dua lelaki yang dikesan oleh tv litar tertutup (CCTV) Hotel Malaya, tempat wanita itu menginap.

Imej dua lelaki itu masing-masing memakai kemeja-t putih dan kemeja-T jalur kuning/biru (jalur biru di lengan) berkeliaran di sekitar lobi hotel, kawasan lif, memasuki lif dan di tingkat 7 dan 11 bangunan hotel antara jam 4 petang dan 5 petang 18 Oktober tahun lalu, sehari sebelum Altantuya dikatakan dibunuh, ditunjukkan pada skrin tv 21-inci di meja pihak pendakwaan.

Sebuah lagi tv diletakkan di meja depan hakim Datuk Mohd Zaki. Perbicaraan masuk hari ke-19.

Bagaimanapun, visual yang ditunjukkan itu statik ekoran masalah pada sistem perakam video akibat perakam itu tidak sesuai dan tidak dapat "membaca" dengan sempurna pita video berkenaan.

Prosiding mahkamah terganggu beberapa kali dan mahkamah terpaksa menunggu sebentar bagi membolehkan pendakwaan mengusahakan tayangan imej yang lebih jelas. Percubaan media penyiaran untuk memasang sistem perakam video yang dapat memberi imej lebih jelas juga gagal.

Tun Hamzah memberitahu mahkamah bahawa mereka (pendakwaan) telah meminta pembekal sistem video hadir di mahkamah esok untuk memasang sistem yang sesuai dengan pita video berkenaan.

Beliau berkata pendakwaan akan membawa satu lagi kelengkapan esok dari Jabatan Forensik jika kelengkapan dari pembekal itu gagal menghasilkan imej jelas.

Pada mulanya, alat itu dijadual dikendalikan oleh Sarjan Nasir Mohd dari Jabatan Forensik tetapi pendakwaan kemudian mendapatkan kebenaran mahkamah alat dikendalikan oleh saksi ke-17, pengurus operasi hotel itu Jimmy Loo Mow Chan.

Loo, 50, yang menyambung keterangan dari Jumaat lepas, memberi taklimat kepada mahkamah hari ini mengenai lokasi imej-imej berkenaan yang dikesan CCTV.