Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Kita tidak zalim, dana lebih banyak disalur terus ke rakyat di T'ganu
Diterbitkan:  Mar 21, 2024 10:11 AM
Dikemaskini: 6:54 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Putrajaya meminggirkan Terengganu, mengatakan bahawa pentadbirannya memberikan peruntukan yang lebih besar kepada negeri itu berbanding kerajaan sebelumnya.

Bercakap pada mesyuarat bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini, Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata dana disalurkan terus kepada rakyat, tanpa mengambil kira pakatan politik mereka, bukannya kepada ahli parlimen mana-mana kawasan.

“Meskipun Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sudah jelaskan (mengenai perkara itu) di Parlimen, mereka (pembangkang) tetap memanggil kami zalim.

“Semasa saya menjadi pembangkang berpuluh tahun, kita tidak menerima sebarang peruntukan, termasuk ketika Umno-PAS-Bersatu menjadi kerajaan. Ketika itu tidak zalim, tetapi sekarang zalim?

“Bolehkah undang-undang (Islam) berubah mengikut pakatan politik? Kalau dulu zalim, ya, sekarang pun zalim," sindir Anwar.

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) meminta penjelasan daripada Anwar mengenai tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu tahun lalu.

Ahli parlimen PAS itu mendakwa negeri itu masih belum menerima kira-kira RM1 bilion daripada kerajaan pusat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dia tidak menerima sebarang peruntukan semasa menjadi Ahli Parlimen Port Dickson (2018-2022).

Namun, katanya, dia tidak mahu mengungkit tentang masa lalu, terutama pada bulan puasa.

Dalam ucapannya, Anwar berkata kerajaan telah membayar dana khas atau 'Wang Ehsan' berjumlah RM786 juta kepada Terengganu, untuk tahun lepas.

Di samping itu, kerajaan persekutuan juga telah memenuhi semua obligasi pembayaran geran persekutuan kepada negeri, tambahnya.

“Pada 2022, kerajaan beri RM399.12 juta (kepada Terengganu), manakala tahun lepas kita naikkan kepada RM413.64 juta. Kita jangkakan peruntukan itu meningkat pada 2024.

“Peruntukan untuk membangunkan Terengganu juga meningkat daripada RM1.55 bilion pada 2023 kepada RM1.59 bilion (dalam bajet).

"Saya telah menjelaskan perkara ini sebelum ini di Parlimen, tetapi mereka (pembangkang) terus berkata kita zalim dan menentang agama, dan lain-lain. Mereka kata ia bukan Madani (kerajaan), tetapi 'Madanon' dan banyak lagi (penghinaan)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS