Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Kuala Kubu Baharu meninggal dunia
Diterbitkan:  Mar 21, 2024 12:10 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Adun Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong meninggal dunia akibat kanser awal hari ini.

Berita kematian itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada pelbagai pihak dan pasti dirasai terutamanya oleh penduduk Kuala Kubu Baharu yang sudah lama diwakili dan dibantu oleh Puan Lee Kee Hiong sejak sebelum dia menjadi wakil rakyat.

“Mewakili Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Puan Lee Kee Hiong, serta seluruh sahabat dan anggota di dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kehilangan tokoh berpengalaman.

“Semoga mereka diberikan kekuatan mengharungi detik yang mencabar ini,” kata Amirudin.

Mendiang berusia 58 tahun dan dikatakan telah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Lee adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor 2023.

Sebelum ini, Dewan Rakyat turut dimaklumkan tentang kematian Lee apabila pemimpin DAP Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengucapkan takziah.

Menurut laporan berita beberapa akhbar harian Cina, majlis perkabungan Lee akan diadakan di Nirvana Centre Kuala Lumpur.

Difahamkan kematian Lee akan mencetuskan pilihan raya kecil, kerana kerusinya kosong kurang setahun selepas pilihan raya negeri yang lalu.

Lihat Komen
ADS