Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Perlis menyifatkan kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin yang mahu "menguburkan" PKR dalam pilihanraya umum akan datang sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Ketua AMK Perlis, Zamri Sapar berkata, persoalan ahli PKR yang masuk atau keluar parti adalah suatu perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana parti politik.

Katanya, sudah menjadi pengetahuan awam bahawa media arus perdana memang diarahkan oleh pihak tertentu untuk menyiarkan berita 'sebahagian kecil' ahli PKR keluar parti.

Bagaimanapun, kata Zamri, ramai lagi ahli baru yang menyertai PKR tetapi ia tidak disiarkan langsung oleh media perdana.

"Dalam Umno sekalipun, ramai ahli parti berkenaan yang keluar parti namun ianya tidak didedahkan oleh media berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Undi tak percaya

Zamri berkata, Khairy (foto) tidak perlu bersusah payah untuk menguburkan PKR dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sebaliknya, kata beliau, Khairy harus memastikan karier politiknya sendiri tidak terkubur dalam Umno, terutama dalam pemilihan Umno yang akan datang.

Katanya, ini ekoran terdapatnya beberapa cawangan Pemuda Umno di bahagian Rembau yang diketuai Khairy sendiri, yang telah membuat usul undi tidak percaya terhadapnya.

Malah, kata Zamri, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang besar jasanya kepada Umno pun tewas dalam pemilihan perwakilan bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno.

"Apa sangatlah jika hendak dibandingkan dengan Khairy," katanya.