Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Google nyah aktif sementara beberapa ciri tukaran ringgit-dolar AS

Google telah menyahaktifkan sementara beberapa ciri widget penukaran mata wangnya daripada ringgit kepada dolar AS, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bercakap semasa sidang media di Angkasapuri, Fahmi mendedahkan dia telah menghubungi Google untuk pengesahan mengenai perkara itu.

"Pihak Google memaklumkan berdasarkan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), ada beberapa feature mereka turunkan sementara waktu untuk pastikan kejadian (yang sudah) berlaku dua kali tidak lagi berulang. Ini adalah satu langkah yang dialu-alukan," katanya

Dia berkata ciri-ciri itu juga akan dipulihkan apabila isu teknikal telah diselesaikan.

Minggu lalu, BNM menegaskan bahawa Google telah dua kali menerbitkan data kadar pertukaran AS$ ke ringgit yang tidak tepat tahun ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang menyiarkan kenyataan sindiran di Facebook, “Antara tanda ringgit mengukuh. #salam5ringgit”.

Catatan itu disertakan dengan imej kadar pertukaran janaan Google yang menunjukkan secara tidak tepat bahawa AS$1 bersamaan dengan RM4.98, apabila BNM berkata kadar sebenar disebut pada 4.7015 berbanding dolar AS pada 9 pagi.

Mengulas lanjut, Fahmi berterima kasih kepada Google atas usaha yang diambil untuk memastikan integriti datanya.

"Jadi inilah yang sedang berlaku. Saya tidak ingin mana-mana pihak membuat tohmahan ataupun fitnah seolah-olah kita mengarahkan feature Google ini ditiadakan. Ini tidak benar," tegasnya.

Lihat Komen
ADS