MPAG tidak terima arahan tutup ladang babi
Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) hanya boleh menutup kawasan ternakan babi di dalam kawasan pentadbirannya apabila mendapat arahan kerajaan negeri.
Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) hanya boleh menutup kawasan ternakan babi di dalam kawasan pentadbirannya apabila mendapat arahan kerajaan negeri.
Jurucakap MPAG berkata, hanya kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menutup ladang ternakan babi seperti di Londang, Kampung Man Lok dan Paya Mengkuang.
"Kami sendiri tidak mengetahui status sebenar ladang-ladang ternakan itu - sama ada akan ditutup atau tidak - kerana belum ada arahan rasmi supaya MPAG merobohkannya.
"Kami tahu banyak permintaan yang dihantar oleh Umno dan penduduk kawasan terbabit supaya kandang babi terbabit ditutup.
"Pemimpin Umno atau wakil rakyat tidak boleh menuduh kami tidak mahu menutup kandang babi tersebut kerana tidak ada arahan kerajaan negeri supaya berbuat demikian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas tindakan lebih 100 penduduk termasuk ahli Umno dan pengusaha calet yang mengadakan piket aman di Sungai Tuan baru-baru ini kerana membantah pusat ternakan babi di kawasan terbabit.
Lawat kawasan
Piket tersebut diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Datuk Abdul Rahman Palit yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi.
Jurucakap MPAG itu berkata, sebelum ini beberapa pemimpin utama kerajaan negeri telah melawat kawasan ternakan babi tersebut untuk mengkaji statusnya tetapi tiada sebarang keputusan dibuat.
Katanya, difahamkan isu ternakan babi di dalam kawasan MPAG menjadi rumit kerana campur tangan pemimpin politik walaupun mereka melanggar peraturan ternakan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Harun Bujang berkata, sebahagian penternak belum menukar status tanah asal iaitu tanah untuk pertanian.
"Walaupun dengan status tanah pertanian, ia bukan bermakna mereka tidak boleh menternak babi, cuma tidak boleh membela dengan tujuan komersil.
"Macam tanah pertanian orang Melayu, mereka membuat rumah, menanam sayuran dan membela ternakan lembu beberapa ekor dan cara ini dibenarkan," katanya.
Tidak penuhi peraturan
Harun berkata, pihaknya sebelum ini pernah mahu menutup kandang-kandang babi terbabit tetapi gagal kerana tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri.
Selain Sungai Tuan, pusat ternakan babi lain di kawasan Masjid Tanah di dalam daerah Alor Gajah ialah Paya Mengkuang, Londang dan Kampung Man Lok dengan jumlah ternakan keseluruhan kira-kira 150,000 ekor.
Ketika dihubungi Jumaat lalu, Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, ladang babi tersebut tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan seperti buangan najis tidak diproses terlebih dahulu menyebabkan menimbulkan bau kepada hampir 10,000 penduduk di DUN Kuala Linggi dan DUN Tanjung Bidara.
Katanya, keperluan babi bagi seluruh Melaka ialah kira-kira 48,000 ekor tetapi jumlah ternakan ialah 150,000 ekor.
"Kami hairan mengapa pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Tanah masih membenarkan ladang beroperasi seolah-olah tanpa pengawasan," katanya..

