Pihak peguambela dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu mempersoal kesahihan rakaman CCTV di Hotel Malaya.

Peguambela Hasnal Redzua Merican yang mewakili tertuduh kedua, Sirul Azhar, menyatakan adalah ganjil pita video yang mengandungi rakaman imej tv litar tertutup (CCTV) dua lelaki itu, juga mengesan imej pada 11 November tahun lalu.

Hasnal Rezua berkata adalah pelik bila saksi ke-17, Jimmy Loo Mow Chan memberi keterangan sebelum ini yang beliau menyerahkan pita video itu kepada seorang pegawai polis sehari sebelumnya (10 November 2006), demikian menurut laporan Bernama.

Loo, 50, pengurus operasi Hotel Malaya, tempat mangsa menginap, tidak dapat menjelaskan perselisihan waktu itu dan dilihat tersenyum.

Terdahulu, Loo juga mengakui beliau tidak mempunyai kepakaran teknikal bagi menerangkan masalah dalam tayangan rakaman imej CCTV.

Semalam, Loo memberitahu mahkamah terdapat perselisihan dari segi masa yang ditunjukkan pada beberapa imej oleh kerana kelengkapan audio visual yang digunakan bagi menayangkan pita itu di mahkamah adalah tidak sejajar.

Hari ini saksi itu mengakui yang beliau hanya mengagak terdapat perselisihan waktu pada beberapa imej oleh kerana kelengkapan audio visual itu tidak sesuai.

Azilah, 30, dan Sirul Azhar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh melakukan pembunuhan itu manakala penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, dituduh bersubahat dengan mereka.