PAS menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai beban penduduk akibat amalan kronisme dalam pengurusan sampah negara.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa kepada Ketua Setiausaha Perdana Menteri, Datuk Ahmad Yaakub dan Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Shahlah Ahmad di Putrajaya.

Kedua-duanya berjanji akan menyerahkan memorandum itu kepada Abdullah dan Najib.

Husam berkata, beliau memberi tempoh sebulan kepada Perdana Menteri atau timbalannya untuk memberi respons terhadap memorandum tersebut.

"Jika dalam tempoh tersebut, tiada sebarang respons dari mereka, saya akan datang lagi bertemu dengan Abdullah dan Najib," katanya.

Memorandum tersebut mengandungi 10 perkara, antara lain, mengenai kehilangan pekerjaan, pembaziran wang negara, lebih banyak tanah negeri diambil dan pembuangan sampah antara satu negeri ke negeri lain, akibat kronisme dalam pengurusan sampah negara.

Ia antara lain mendakwa, Rang Undang-undang Sisa Pepejal 2007 membebankan rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beban kewangan

Selain itu, dakwanya, ia membuka ruang kepada amalan kronisme dengan pelantikan syarikat pemegang konsesi pengurusan sisa pepejal yang bukan berasaskan kemampuan dan rekod kebolehan serta tanpa tender terbuka.

Akhirnya, dakwa memorandum itu lagi, syarikat-syarikat tertentu akan mengaut keuntungan sementara negara akan mengalami beban kewangan dan merugikan rakyat jelata.

Menurutnya, pada 1993, tanpa asas yang munasabah, kerajaan pusat memutuskan untuk membahagikan seluruh negara kepada empat kawasan konsesi pengurusan sisa pepejal yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat yang didakwanya dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan negara.

Memorandum itu juga mendakwa, syarikat-syarikat konsesi tersebut tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan sisa pepejal dan mengharapkan wang dari PBT untuk menguruskan sampah.

Ia juga mendakwa, syarikat-syarikat berkenaan tidak berniat untuk membuat sebarang pelaburan, tetapi sebaliknya hanya mengaut keuntungan tanpa menyediakan perkhidmatan bermutu.

Memorandum itu juga mendakwa, PBT tidak berkuasa untuk menegur atau membatalkan kontrak syarikat-syarikat konsesi ini kerana kuasa itu telah diletakkan di bawah kerajaan pusat.

"Syarikat-syarikat konsesi ini ada kemungkinan menumpukan perhatian kepada kawasan bandar yang lumayan sambil mengabaikan kawasan luar bandar yang tidak menguntungkan.

"Malah negeri-negeri yang ramai penduduk akan diberi layanan istimewa berbanding negeri-negeri yang kurang penduduk," dakwa memorandum tersebut.