Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MySaveFood Ramadan selamatkan 33,000 kg makanan, minuman

Program MySaveFood Ramadan yang bermula 14 Mac lalu berjaya menyelamatkan 33,000 kilogram (kg) makanan dan minuman tidak terjual di bazar Ramadan seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata data itu dikumpulkan melalui kaedah bagaimana pengurusan sisa makanan dan minuman dilakukan secara berstrategi.

"Secara keseluruhannya, jumlah makanan dan minuman diselamatkan melalui program itu dianggarkan bernilai RM416,000.

"Malahan, kita jangka jumlahnya semakin meningkat sehingga penghujung Ramadan.

Gambar hiasan.

"Semasa pilot projek pada Ramadan tahun lalu, kita berjaya mengumpul 25,000 kg makanan dan tahun ini kita jangka lebih banyak dapat dikumpul kerana ramai sukarelawan terlibat dalam program ini," katanya ditemui selepas walkabout di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square, Kuantan, semalam.

Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan sisa makanan dikutip dari bazar Ramadan juga dijadikan baja kompos melalui kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Katanya, pihak SWCorp menyediakan mesin kompos berhampiran tapak bazar Ramadan bagi memudahkan peniaga atau orang ramai menguruskan sisa makanan mereka.

"Mesin kompos ini dapat menghasilkan baja dalam tempoh 48 jam menggunakan bahan enzim," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai isu peniaga bazar Ramadan di Johor yang tular menjual burger pada harga mencecah RM30, dia memaklumkan pemeriksaan dijalankan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menemui gerai terbabit.

"Sebab itu saya nak nasihatkan orang ramai, lebih baik buat aduan secara terus kepada KPDN supaya kalau kita viralkan mungkin perkara itu sempat diubah dan tak ada lagi dah bukti untuk kita ambil tindakan.

"Jadi lebih baik buat aduan terus kepada KPDN," katanya.

Lihat Komen
ADS