Nahas helikopter S61-A4 Sikorsky Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas Jumaat lalu dan mengorbankan enam anggotanya, telah menimbulkan persoalan sama ada pesawat tersebut masih selamat untuk digunakan, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Katanya, nahas di Genting Sempah itu adalah yang ke-17 dalam tempoh 40 tahun yang mengorbankan 72 nyawa.

Lim turut memetik laporan media mengenai kenyataan Hashidee Murshin Hassim, 29 - rakan Kapten Nor Azlan Termuzi sejak kecil lagi - tentang bagaimana Allahyarham "berasa takut untuk menerbang helikopter Nuri".

Azlan menjadi juruterbang TUDM selama 11 tahun dan menerbangkan pesawat Nuri untuk laluan Sungai Besi-Kuantan sejak dua tahun lalu.

Katanya, laporan dalam News Straits Times itu memetik Hashidee sebagai berkata, Azlan pernah memberitahunya bahawa "dia lebih rela memandu lori ke Kuantan kerana dia berasa lebih selamat".

Azlan Termuzi adalah antara enam anggota TUDM yang terkorban dalam nahas tersebut. Lima lagi ialah pembantunya, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin, 34, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, 35, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata, seluruh negara sedih bersama dengan keluarga enam anggota TUDM yang terkorban dalam nahas tersebut.

Moral anggota TUDM

'Kisah ini telah secara serius mencerminkan keadaan moral yang mengejutkan dalam TUDM apabila juruterbang Nuri takut untuk menerbang pesawat tersebut," katanya.

Lim berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak semalam mengulangi bahawa Nuri merupakan helikopter pengangkut untuk Angkatan Tentera Malaysia dalam operasi dan pengangkutan.

"Walaupun begitu, apabila ditanya sama ada beliau pernah menaiki Nuri, Najib berkata, beliau pernah berbuat demikian tetapi sekarang dia menaiki pesawat VIP istimewa.

"Bolehkah Najib menyatakan log bilangan beliau menggunakan Nuri setiap tahun sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan pada Disember 1999, dan jumlah bilangan penggunaan Nuri oleh VVIP dalam beberapa tahun kebelakangan ini serta identiti mereka.

"Apabila Menteri Pertahanan dan VVIP juga takut menaiki Nuri, dan juruterbang Nuri seperti Azlan juga takut untuk menerbangkannya, maka adakah ianya betul untuk membahayakan keselamatan nyawa anggota TUDM dengan terus mengguna helikopter Nuri?" soalnya.

Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa pihak berkuasa supaya menghentikan perkhidmatan helikopter Nuri sehinggalah laporan mengenai nahas itu siap sebulan lagi.

"Punca sebenar nahas tersebut mestilah dikenalpasti, dan pihak berkuasa mestilah menunjukkan keazaman politik untuk mengatasinya dengan sebaik mungkin demi melindungi perajurit kita," katanya dalam satu kenyataan.

Ganti Nuri

Sehubungan itu, bekas timbalan perdana menteri itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter Nuri itu.

"Pada masa yang sama, saya merakamkan ucapan penghargaan terhadap usaha pasukan mencari dan menyelamat yang bertungkus-lumus berusaha mencari helikopter tersebut," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga enam anggota TUDM yang terkorban itu.

"Seluruh ahli dan pimpinan PAS mendoakan semoga roh mereka ditempatkan Allah di kalangan mereka yang soleh.

"Sesungguhnya keenam-enam mereka terkorban semasa menjalankan tugas untuk negara dan sewajarnya diberi penghormatan tertinggi dan kaum keluarga mereka diberi pampasan yang setimpal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi juga menggesa kerajaan, khasnya Kementerian Pertahanan agar menghentikan serta merta perkhidmatan helikopter pengangkut Nuri.

"Pesawat yang mula dibeli oleh TUDM sejak tahun 1968 ini dikira tidak sesuai dan lebih membahayakan keselamatan anggota tentera kita yang berkhidmat dengan tulus dan berani untuk agama, bangsa dan negara.

"Sudah tiba masanya pihak kerajaan memperkenalkan helikopter pengangkutan yang lebih semasa dan yang paling penting, dapat menjamin keselamatan anggota tentera kita yang bertugas," katanya.