Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC gesa KDN lucutkan kewarganegaraan warga Malaysia di Jerman

Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa melucutkan kewarganegaraan seorang rakyat Malaysia yang berada di Jerman kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan baru-baru ini.

Ketua penerangannya, Thinalan Rajagopalu (atas) berkata N Ganesparan, 39, adalah ancaman kepada perpaduan dan keharmonian negara.

Rajagopalu berkata kenyataannya boleh menyebabkan kegusaran awam dan membangkitkan sensitiviti agama yang boleh menyebabkan pergolakan serta perpecahan kaum dan bangsa.

"MIC mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ganesparan, warga Malaysia yang berselindung di negara Jerman.

"Kami menggesa agar tindakan segera diambil oleh kerajaan agar anasir tidak setia kepada negara sebegini dibendung dari terus mengancam dan mencemari keharmonian rakyat dan negara kita.

"Kewarganegaraan Ganesparan harus dilucutkan kerana individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau percakapannya, seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara kita," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini,  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya sedang mencari Ganesparan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam dan menggugat keamanan negara.

Katanya, siasatan mendapati suspek memuat naik video bertajuk Racist in vaccine Malaysia di akaun Facebook Ganesparan Nadaraja.

Dalam video itu, kata polis, suspek mendakwa Sinovac–yang didakwanya berkualiti rendah dan tidak berkesan–diberikan kepada bukan Muslim sedangkan orang Islam diberikan vaksin “berkualiti tinggi” Pfizer.

Lihat Komen
ADS