Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Betty Chew Gek Cheng menggesa pihak polis supaya menjalankan siasatan dengan teliti sebelum membuat sebarang tangkapan.

"Tindakan tangkap dahulu baru siasat mencabuli hak asasi rakyat. Dan adakah gambar dan cap jari orang kena tahan, akan dimusnahkan selepas mereka bebaskan kerana tidak ada kes," katanya mengemukakan usul mengenai usaha membenteras jenayah di persidangan dewan itu kelmarin.

Beliau memberi contoh orang awam yang ditahan tanpa sebab yang munasabah sepertimana yang berlaku terhadap tiga individu di balai polis Alor Gajah pada 13 April 2007.

Ekoran itu, katanya, seorang daripadanya telah membuat laporan di balai polis Durian Tunggal pada 9 April dan balai polis Melaka Tengah pada April 16 kerana mereka ditangkap tanpa sebab yang munasabah.

Menurutnya, laporan tersebut dibuat terhadap inspektor yang didakwa menyalahguna kuasa dan pihak yang membuat laporan polis palsu terhadapnya.

Bagaimanapun, kata Betty, tiada sebarang tindakan yang diambil.

Menurutnya, satu lagi contoh ialah kesilapan pegawai pendakwa menarik balik semua pertuduhan di Mahkamah Alor Gajah pada 14 Oktober 2005 terhadap tertuduh yang didakwa memalsukan cek, sungguhpun tiada arahan oleh pihak pendakwaraya.

Katanya, tiada sebarang tindakan diambil atau menentukan sama ada wujudnya latarbelakang tidak sihat mengapa dia bertindak menarik balik pertuduhan tanpa arahan.

Banteras jenayah

"Selagi anggota polis yang menyalahgunakan kuasa atau tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak diambil tindakan, maka adalah sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kemampuan polis untuk membanteras jenayah.

"Saya memang menyokong kenaikan gaji anggota polis sebanyak 7.5 peratus hingga 35 peratus, tetapi pihak polis mesti membalasnya dengan menunjukkan prestasi dan hasilnya yang lebih baik sebanyak 35 peratus," katanya.

Sebagai pembayar cukai, katanya, rakyat memang berhak menikmati persekitaran yang selamat untuk menjalani kehidupan harian ketika bekerja, belajar dan beriadah.

Mengenai usul tersebut, Betty berkata rakyat tidak puashati dengan keadaan keselamatan awam yang didakwanya kian tidak menentu kebelakangan ini.

Katanya, ini dicerminkan oleh angka dan statistik rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan kenaikan kadar jenayah pada 2006 (5,978 kes) adalah 22.6 peratus, berbanding dengan tahun 2005 (4,876 kes).

Menurutnya, kenaikan kadar jenayah sebanyak 22.6 peratus itu adalah jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan nasional sebanyak 15.7 peratus pada tahun 2006.

"Sungguhpun polis Melaka telah berusaha mencegah kejadian jenayah, tetapi kadar kenaikan indeks jenayah masih melebihi kadar nasional.

"Pengumuman indeks jenayah untuk enam bulan pertama 2007 berbanding dengan tempoh masa sama tahun lalu, menunjukkan kenaikan indeks jenayah sebanyak 10.31 peratus di Melaka berbanding dengan kenaikan nasional sebanyak 5.1 peratus," katanya.

Lokasi CCTV

Menurutnya, Selangor mencatatkan kenaikan kadar jenayah yang paling tinggi di negara manakala Melaka menduduki tempat kelima.

Betty juga menggesa agar anggota polis di Melaka ditambah 100 peratus bagi meningkatkan usaha membanteras kegiatan jenayah di negeri itu.

"Pada tahun 2003, hanya ada 34 pegawai penyiasat di Melaka untuk (mengendalikan) 3,494 kes dan jumlah ini harus ditambah sekali ganda memandangkan kes jenayah pun telah tambah sekali ganda," katanya.

Beliau berkata, sebagai pusat pelancongan utama di Malaysia, keadaan keselamatan para pengunjung, khususnya pelancong asing yang datang ke Melaka yang merupakan sasaran mudah perlu terjamin.

"Perlu diingatkan, sekiranya keselamatan tidak terjamin maka ia akan menjejaskan imej dan nama baik Melaka," katanya.

Betty juga ingin tahu mengenai status dan kedudukan CCTV termasuk bilangan, kos dan lokasinya.

"Adakah tangkapa dibuat hasil penggunaan CCTV ini? Sekiranya tidak, ini menunjukkan pemasangan CCTV hanyalah indah khabar dari rupa yang membazirkan wang rakyat," katanya.

Menurutnya, beliau pernah bertanya mengenai lokasi "kawasan hitam" yang menjadi pilihan penjenayah dan jawapannya "tidak ada kawasan hitam".

"Ini membimbangkan kerana aduan orangramai seakan-akan menyokong bahawa kes jenayah berlaku di merata-rata tempat baik di kawasan bandar ataupun luarbandar.

"Tidak ada satu tempat yang boleh dikira selamat, baik di Cheng, Kampung Lapan, Ujong Pasir, Taman Malim Jaya, Taman Merdeka, Bandar Hilir, Taman Kota Laksamana mahupun di tempat pelancongan seperti Jonker Walk," katanya.