Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Klang, Datuk Zakaria Md Deros dijangka dihadapkan di mahkamah sesyen Kuala Lumpur esok untuk menghadapi 13 tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Setiap tuduhan membawa hukuman denda sehingga RMRM30,000 dan lima tahun penjara, demikian menurut laporan akhbar the Sun hari ini.

Sebelum ini, Zakaria yang juga ketua Umno Klang menjadi tumpuan apabila beliau membina sebuah 'istana' tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan gagal membayar cukai tafsiran selama 11 tahun.

Zakaria juga akan didakwa bersama empat lagi pengarah Harvest Court Industries Bhd kerana tidak memaklumkan kepada Suruhanjaya Syarikat (SS) mengenai pertukaran alamat Harvest Court mengikut Seksyen 120 akta yang sama

Harvest Court akan didakwa secara berasingan atas tuduhan yang sama.

Menurut laporan the Sun lagi, Zakaria yang juga pengarah Titi Steel Sdn Bhd, juga akan didakwa bersama seorang lagi pengarah syarikat berkenaan kerana tidak mengadakan mesyuarat agung dari 2002 hingga 2005, satu kesalahan di bawah Seksyen 143.

Dua pengarah Titi Steel juga akan didakwa kerana gagal mengemukakan penyata kewangan dari 2002 hingga 2005 di bawah Seksyen 165, dan gagal mengemukakan penyata untung-rugi dari 2001 hingga 2004 mengikut Seksyen 169.

Muflis

Titi Steel akan didakwa secara berasingan di atas kesemua tuduhan tersebut mengikut Seksyen 143, 165 dan 169.

Pegawai dari SS telah menyerahkan saman kepada Zakaria dan pengarah yang lain semalam.

Difahamkan, Suruhanjaya Syarikat (SS) sedang menyediakan kertas pendakwaan terhadap Zakaria kerana tidak mengosongkan jawatannya sebagai pengarah Masmanis Sdn Bhd walaupun telah diisytiharkan muflis.

Zakaria telah diisytiharkan muflis antara 10 September hingga 24 November 1992, tetapi beliau masih terus memegang jawatan pengarah Masmanis.

Beliau juga menjadi senator dalam tempoh yang sama tetapi tidak mengosongkan jawatannya di Dewan Negara ketika itu.

Pada 21 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian komersil) membenarkan satu permohonan oleh dua setiausaha Masmanis untuk mengisytiharkan jawatan Zakaria selaku pengarah sebagai tidak sah dan terbatal.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Kang Hwee Gee berkata Zakaria telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Syarikat kerana tidak mengosongkan jawatannya itu.