Mahkamah Persekutuan benar Daim, Halim Saad padamkan kenyataan Sri Ram
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad untuk memadamkan ulasan yang memburuk-burukkan mereka dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad untuk memadamkan ulasan yang memburuk-burukkan mereka dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Yang lainnya ialah Datuk Abdul Hamid Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, hakim Mahkamah Persetukuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed, Datuk Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman.
Ketika membaca keputusan tersebut, Hakim Datuk Abdul Hamid berkata, tidak ada bukti kukuh untuk menyokong kenyataan yang tidak wajar itu, demikian menurut laporan Bernama.
Katanya:" Kenyataan itu dibuat oleh hakim yang arif (Sri Ram) dalam penghakimannya di mana Tun Daim bukannya pihak atau pun saksi, dan Tun Daim tidak berpeluang untuk memberikan penjelasan atau mempertahankan diri beliau."
Pada 12 Januari tahun lalu, Hakim Sri Ram memberi ulasan dalam alasan penghakiman bertulisnya bahawa Halim dan rakan niaganya Anuar Othman telah mengaut RM32.5 juta daripada Metramac dan mendapat naungan Daim.
Kenyataan itu dibuat oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusannya memerintahkan pengendali tol Metramac Corporation supaya membayar gantirugi RM65,182,920 kepada syarikat pembinaan Fawziah Holdings bagi
kehilangan hak pengiklanan.
Ketepikan keputusan
Sementara itu, dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Malanjum berkata, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan pengendali tol Metramac Corporation membayar RM65 juta kepada syarikat pembinaan Fawziah Holdings sebagai gantirugi kerana kehilangan hak pengiklanan.
Katanya, keputusan utama dan tambahan Mahkamah Rayuan, yang ditulis oleh Hakim Sri Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, mengandungi elemen berbahaya untuk menjadi berat sebelah.
Hakim Malanjum memutuskan tiada asas bagi Mahkamah Rayuan untuk memberikan ulasan dan dapatan bahawa wujud tekanan ekonomi, naungan, penyalahgunaan jawatan dan kuasa dalam kerajaan serta penyalahgunaan peruntukan.
Dalam penghakimannya, Hakim Malanjum berkata mahkamah bersetuju dengan penghujahan Metramac bahawa wujud kecenderungan untuk kes perayu (di hadapan Mahkamah Rayuan) telah dilayan secara tidak adil.

