Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Universiti Malaya (UM) supaya mengambil tindakan terhadap jawatankuasa kolej, termasuk jawatankuasa minggu orientasi kerana tindakan tidak bertanggungjawab mereka menganjurk "debat tidak bermaruah" ketika sambutan pelajar baru sesi 2007/2008.

Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli berkata, menurut laporan seorang ibu, jawatankuasa kolej tersebut telah mendebatkan suatu isu yang langsung tidak membina pemikiran dan akhlak dengan membincangkan "Adakah bagus seks sebelum makan atau selepas makan?".

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, PKPIM berpandangan Universiti Malaya sepatutnya bertanggungjawab memantau seluruh perjalanan minggu orientasi kemasukan pelajar baru.

"Isu yang dibincangkan itu mempamerkan satu penghinaan intelektual yang paling teruk, yang melihatkan kedangkalan akhlak dan adab penganjur debat tersebut," tambahnya.

Sebagai pelajar baru, kata Mohd Hilmi, mereka sepatutnya diberi pengisian yang bermotivasi, berilmu ke arah membina akhlak mulia.

"Isu tersebut satu sikap kurang ajar dan mempermainkan kredibiliti institusi pengajian tinggi tertua di Malaysia," tambahnya.

Mohd Hilmi berkata, PKPIM melihatkan sudah ada kecenderungan pihak yang angkuh dan anti-nilai baik memimpin pentadbiran universiti di Malaysia.

"Golongan ini tidak ada naluri untuk memimpin anak bangsa, sebaliknya sekadar mengekalkan kekuasaan dan merosakkan anak bangsa. Kes di Universiti Malaya ini adalah contoh dalam banyak- banyak contoh.

"PKPIM bertegas agar Universiti Malaya mengambil tindakan ke atas jawatankuasa kolej termasuk jawatankuasa minggu orientasi atas tindakan tidak bertanggungjawab menganjurkan debat tidak bermaruah itu," katanya.