Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Labuan dakwa pindaan perlembagaan Bersatu tak jejaskan kerusinya

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman mendakwa pindaan perlembagaan Bersatu yang baru diluluskan tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai ahli parlimen bersama lima yang lain.

Bercakap kepada Malaysiakini, Suhaili berkata perkara itu berdasarkan pekeliling ROS kepada Bersatu, yang dikongsikan oleh Ketua Pemuda parti itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurutnya ia menunjukkan bahawa pindaan Artikel 10 perlembagaan parti itu hanya berkuatkuasa mulai 1 April.

“ROS kata perlembagaan baru ini berkuat kuasa mulai 1 April [...] Kalau tanya saya, komen saya berdasarkan apa yang saya lihat iaitu muka surat pertama notis itu.

“Saya fikir adalah selamat untuk saya katakan, baca dari apa yang ROS katakan, pemahaman orang biasa ialah perlembagaan baru ini hanya berkuat kuasa pada 1 April dan ia bukan retrospektif.

"Jika katakan ROS berkata ia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2023, maka secara automatik kita semua akan terkesan," kata Suhaili, sambil menambah dia bercadang bertemu lima ahli Parlimen lain pada minggu ini.

Terdahulu, Wan Fayhsal berkata pindaan berkenaan membolehkan Bersatu mengosongkan kerusi dan menagdakan pilihan raya kecil di kerusi yang disandang enam ahli Parlimen berkenaan selepas mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada mesyuarat agung luar biasa parti itu pada 2 Mac lalu berkata, pindaan berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai ahli parlimen Bersatu "bertindak liar" dan bertentangan dengan dasar parti.

Pindaan itu dibuat berikutan enam Ahli Parlimen - Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan) menyatakan sokongan kepada Anwar.

Empat hari selepas EGM Bersatu, Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS