Perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu mungkin menyaksikan satu lagi perbicaraan dalam perbicaraan berikutan permohonan seorang peguambela di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Peguam Hazman Ahmad, yang mewakili tertuduh pertama, Cif Insp Azilah Hadri, memohon diadakan perbicaraan dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada keterangan oleh seorang saksi boleh diterima oleh mahkamah.

Hazman berkata, keterangan tersebut tidak adil terhadap Azilah.

Saksi pendakwa itu, Cif Insp Koh Fei Cheow, 38, dalam keterangannya berkata, dia menjumpai rangka dan serpihan tulang, yang dipercayai tulang manusia, di satu kawasan yang ditunjukkan oleh Cif Insp Azilah Hadri pada 6 November tahun lalu.

Beliau yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, tulang itu dapat dilihat dengan jelas di satu kawasan semak di atas bukit yang dikenali sebagai Puncak Niaga Empangan Tasik, Subang, Selangor.

Menurut laporan Bernama, Koh berkata, rangka dan serpihan tulang itu ditermui kira-kira jam 6.20 petang 6 November tahun lalu setelah ditunjukkan sendiri oleh Azilah.

Azilah, 31, berada di kandang tertuduh bersama Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, kerana didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 47, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober tahun lalu dan 9.45 malam19 Okt tahun lalu.

Koh berkata, Azilah memberitahunya bahawa kawasan yang terdapat tulang itu adalah "tempat perempuan Mongolia diletupkan".

Katanya, Azilah turut membawanya ke satu kawasan lapang yang jaraknya kira-kira sembilan meter dari tempat letupan dan menyatakan kawasan itu adalah "tempat perempuan Mongolia ditembak".

Tersilap jalan

Koh berkata, pasukan polis yang membawa Sirul Azhar ke tempat yang sama, hanya tiba di kawasan itu lima minit kemudian.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Azilah mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk memandu arah polis sebelum sampai di kawasan Puncak Alam, tempat yang dikatakan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dibunuh.

Menurutnya, sepanjang perjalanan mereka telah berhenti beberapa kali kerana tersilap jalan.

Koh berkata, beliau bersama sepasukan yang terdiri dari tiga anggota polis dan Azilah berlepas dari IPK Kuala Lumpur menggunakan kenderaan pacuan empat roda pada jam 5.20 petang 6 November tahun lalu dan sampai di satu kawasan lapang hutan itu pada jam 6.50 petang.

Katanya, mereka pergi mencari tempat kejadian itu selepas Azilah memberi maklumat kepadanya dalam satu sesi temubual.

Koh berkata, dari IPK Kuala Lumpur, mereka menghala ke tol Jalan Duta dan keluar di tol Kota Damansara.

Oleh kerana tidak biasa dengan keadaan jalan, kata Koh, pasukannya telah melalui Jalan Persiaran Suria, Jalan Kampung Subang, Bukit Jelutong dan Jalan Puncak Perdana sebelum sampai di kawasan lapang itu.