Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah mengarahkan semua media arus perdana supaya jangan menyiarkan sebarang berita mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh memberitahu malaysiakini bahawa mereka bimbang sekiranya dibiarkan, perkara itu boleh menimbulkan 'ketegangan'.

"Betul, kita ada memberi arahan kepada semua media perdana. Islam adalah satu isu sensitif. Mereka tidak boleh menyiarkan sebarang berita sama ada negara ini sekular atau Islam,. Perdebatan ini tiada berkesudahannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak media boleh menyiarkan kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengenai perkara itu.

Kelmarin, selepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai negara Islam dalam dunia global di ibunegara, Najib dilaporkan berkata Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.

Najib berkata, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.

Reaksi awam

"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," kata Najib.

Semalam, MCA, dalam reaksinya, menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

"Ini adalah permuafakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita," kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan, dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, katanya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam adalah tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Che Din berkata, kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu boleh membuat kenyataan seumpama itu, tetapi sebarang reaksi dari parti-parti politik dan orang awam tidak dibenar disiarkan.

"Reaksi dari parti-parti politik dan orang awam tidak boleh disiarkan terutama reaksi negatif," tambahnya.

Anwar bidas Najib

Beberapa wartawan dan editor yang dihubungi mengesahkan mereka akan mematuhi arahan tersebut.

Sebahagian editor tersebut juga berkata mereka telah menarik blaik beberapa ulasan mengenai isu tersebut dalam akhbar masing-masing.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen dan penjelasannya.

Hari ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membidas Najib berhubung kenyataan tersebut.

Katanya, kenyataan tersebut telah "mendedahkan kejahilan Najib" mengenai negara Islam dan dibuat untuk tujuan politik. Berita asal