Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan peguam selar alasan polis tak siasat Akmal
Diterbitkan:  Apr 4, 2024 12:27 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Kumpulan peguam menyelar pendirian polis yang tidak menyiasat tindakan Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menghunus pedang samurai atas alasan tiada laporan polis dibuat.

Lawyers for Liberty (LFL) justeru menuduh polis terlibat dalam pendakwaan terpilih.

Pengarah Zaid Malek berkata tindakan itu bertentangan dengan tugas polis sebagai badan utama untuk memelihara dan melindungi ketenteraman awam seperti digariskan dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

“Ini tugas mandatori polis. Mereka tidak boleh pilih satu kes untuk kuat kuasa undang-undang dan tutup mata pada kes lain.

“Kegagalan dan/atau keengganan untuk bertindak dalam kes Akmal akan menjadi pelanggaran tugas statutori mereka bawah Akta Polis,” katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata siasatan hanya akan dimulakan sekiranya ada laporan polis dibuat.

Akmal pada 14 Mac berkongsi gambarnya memegang pedang samurai sehari selepas tersebar gambar penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai KK Mart.

Dia turut memuatkan kapsyen berbunyi: “Kami tidak akan berganjak dengan pendirian kami. Biar mati berdiri daripada hidup melutut.”

Exco kerajaan negeri Melaka itu juga masih menganjurkan boikot terhadap kedai KK Mart, walaupun sudah banyak gesaan dibuat supaya dia tidak terus memanaskan keadaan.

Razarudin Husain

Dalam kenyaaan hari ini, Zaid berkata kenyataan Razarudin itu lemah dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, polis harus menyiasat jenayah yang berlaku apabila mereka sedar.

Katanya, status Facebook yang “mengapi-apikan” orang ramai itu diketahui kerana menjadi berita nasional.

“Malah, sudah menjadi kebiasaan untuk polis sendiri membuat laporan polis untuk memulakan siasatan,” katanya.

Perkara itu, katanya, sering terjadi dalam kes melibatkan perhimpunan jalanan dan kes melibatkan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kenapa kali ini tak sama?” soal Zaid.

Lihat Komen
ADS