PAS bersikap terbuka terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, kata Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.

"Bagi PAS Islam itu bukan milik PAS tetapi milik semua yang berminat melaksanakan prinsip-prinsipnya," katanya.

Dalam waktu yang sama, katanya, PAS meminta kerajaan memberi penjelasan yang lebih terperinci berhubung pengisytiharan Timbalan Perdana Menteri itu.

"PAS merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk kerajaan menganjurkan dialog antara agama bagi memberi penjelasan yang sebaik mungkin berhubung versi negara Islam yang dimaksudkan itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, katanya, PAS berharap dialog itu nanti akan dapat memupuk persefahaman antara agama dan perpaduan nasional.

Bagi memulakan langkah tersebut, Nasharudin berkata, PAS menyeru kerajaan supaya segera menangani gejala rasuah, salahguna kuasa dan kepincangan demokrasi.

Di samping itu, tambahnya, kerajaan juga perlu menjamin sistem kehakiman yang benar-benar bebas, adil dan telus demi menepati ciri-ciri sebuah negara sedemikian.

"PAS bersedia berdialog dengan semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu," katanya.

Minggu lalu, selepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai negara Islam dalam dunia global di ibunegara, Najib dilaporkan berkata Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.

Najib berkata, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.

Arahan KDN

"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," kata Najib.

Semalam, MCA, dalam reaksinya , menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

"Ini adalah permuafakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita," kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan, dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, katanya, kenyataan Najib bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam adalah tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah mengarahkan semua media arus perdana supaya jangan menyiarkan sebarang berita mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh memberitahu malaysiakini bahawa mereka bimbang sekiranya dibiarkan, perkara itu boleh menimbulkan 'ketegangan'.