Op Selamat: Polis S'gor tumpu 30 lokasi kerap kemalangan
Polis Selangor akan melaksanakan Op Selamat 22 di 30 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan jalan raya di negeri ini bermula 8 hingga 13 April bersempena dengan sambutan Aidilfitri.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata antara lokasi tumpuan adalah di jalan Ijok – Kuala Selangor, Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, Kilometer (KM) 407 – KM410 Lebuhraya Utara Selatan, Jalan Pelabuhan Barat, Jalan Meru, Jalan Salak – Sepang dan Jalan Serdang Jaya.
“Dalam operasi ini, sebanyak 11 lokasi operasi perangkap had laju dan tujuh Op Lancar akan dilaksanakan dengan kekuatan 843 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi memastikan lalu lintas bergerak lancar.
“Op Selamat 22 juga akan melibatkan kerjasama polis dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak konsesi lebuh raya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bersama Petugas-petugas Polis dan Konsesi Lebuh Raya di Shah Alam hari ini.
Hussein berkata kerjasama yang diselaraskan dengan agensi keselamatan lain bersama konsesi lebuh raya itu adalah antara usaha pihaknya memastikan perjalanan yang lancar serta mengurangkan kebarangkalian kemalangan jalan raya ketika orang ramai balik ke kampung dan pulang daripada berhari raya.
Beliau berkata Op Selamat yang bertemakan "Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi", itu akan melibatkan kekuatan sebanyak 7,114 pegawai dan anggota secara keseluruhan yang bersiap siaga memastikan keselamatan komuniti kekal terjamin ketika orang ramai meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung.

Sementara itu, di IPOH, Perak, Ketua Polis negeri Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya membuat pemantauan di lebuh raya dan jalan utama dengan menempatkan keanggotaan di lokasi kawasan kesesakan bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
"Antara kawasan yang dikenal pasti berlakunya kesesakan adalah di laluan Utara – Selatan Gunung Semanggol di Kerian, Bukit Berapit di Taiping, Sungai Perak di Kuala Kangsar, Terowong Menora, Ipoh, Simpang Pulai, Gopeng, Tapah dan Muallim.
"Antara faktor lain yang menyebabkan kesesakan jalan raya ialah cuti persekolahan dan tempoh cuti perayaan yang panjang," katanya selepas merasmikan Op Selamat 22 Aidilfitri 2024 di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara hari ini.
Mohd Yusri berkata sebanyak 79 pegawai kanan dan 476 pegawai rendah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak ditugaskan sepanjang Op Selamat 22 bersempena dengan Aidilfitri.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/3db7485dab76101a44361e397ac6ff9c.jpg)
