Halimey: Ada pihak cuba burukkan AMK Sgor
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab, khususnya di negeri itu, yang cuba memburuk-burukan pergerakan itu dengan menyebarkan pelbagai dakwaan, termasuk laporan ada bahagian yang telah dibubarkan.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab, khususnya di negeri itu, yang cuba memburuk-burukan pergerakan itu dengan menyebarkan pelbagai dakwaan, termasuk laporan ada bahagian yang telah dibubarkan.
Ketua
AMK Selangor, Halimey Abu Bakar berkata pihaknya tahu siapa yang melakukannya
tetapi tiada bukti lengkap dan jelas mengenainya.
Menurut Halimey, sebenarnya, hanya dua ahli AMK Selangor yang keluar parti seorang dari bahagian Shah Alam dan seorang lagi di Sepang.
"Pilihanraya sudah dekat, jadi cerita-cerita begini (ahli keluar parti) sentiasa ada. Sebelum ini 333 ahli didakwa keluar parti di Kuala Langat, sedangkan tiada seorangpun yang berbuat demikian," katanya dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini.
Sebelum ini, Ezam Mohd Noor telah melepaskan jawatan ketua AMK pusat, timbalan pengerusi PKR Selangor dan ketua PKR Shah Alam, sebelum bertindak keluar parti pada 4 April lalu.
Menurut jejak langkahnya ialah bekas setiausaha AMK, SD Johari Yassin yang kini bersama dengan Ezam dalam Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).
Bagaimanapun, Halimey enggan menjawab apabila ditanya sama ada terdapat pemimpin Gerak yang menjadi dalang di sebalik laporan beberapa bahagian AMK di Selangor dibubarkan dan pemimpinnya keluar parti.
"AMK negeri telah mengadakan perbincangan mengenai isu Ezam dan keputusan yang diambil ialah tidak akan bekerjasama lagi dengan Gerak walaupun kami menyokong aktiviti membasmi rasuah yang dilakukannya," katanya.
Persiapan pilihanraya
Halimey berkata, ahli AMK di peringkat bahagian di Selangor telah berikrar tidak akan keluar parti, sebaliknya akan terus setia kepada parti dan pemimpinnya.
Katanya, AMK mempunyai 22 bahagian di Selangor iaitu satu bahagian di setiap kawasan Parlimen dengan keahlian berdaftar kira-kira 4,000 orang.
Di
samping itu, katanya, AMK Selangor telah bersiap sedia untuk menghadapi
pilihanraya umum yang menurutnya dijangka diadakan hujung tahun ini.
"Situasi semasa menyakinkan kami bahawa ia lebih baik daripada pilihanraya umum 1999 dengan adanya kepimpinan PKR negeri yang baru, iaitu bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad," katanya.
Dalam pilihanraya umum 1999, PKR yang ketika ini dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (PKNitu menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hulu Klang melalui Naib Presidennya, Azmin Ali.
Halimey berkata, pihaknya sedia meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya akan datang jika pucuk pimpinan parti memutuskan demikian.
Sebelum ini Timbalan Ketua AMK Pusat, Fariz Musa berkata, pergerakan itu meminta pucuk pimpinan parti menimbang memberi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen untuk ditandingi oleh AMK dalam pilihanraya umum akan datang.
Naib Presiden PKR yang juga pengarah pilihanraya parti, Azmin berkata, parti itu bercadang bertanding 60 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

