Negara Islam: Pembangkang gesa k'jaan tarik balik larangan media
Para pemimpin pembangkang hari ini mengkritik arahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang melarang semua media arus perdana menyiarkan sebarang berita mengenai isu Malaysia sebuah negara Islam.
Para pemimpin pembangkang hari ini mengkritik arahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang melarang semua media arus perdana menyiarkan sebarang berita mengenai isu Malaysia sebuah negara Islam.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mengkritik kerajaan kerana melarang pihak media melaporkan perdebatan mengenai isu tersebut ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya.
Semalam, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Che Din Yusoh memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya bimbang sekiranya dibiarkan, perkara itu boleh menimbulkan 'ketegangan'.
Minggu lalu, selepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai negara Islam dalam dunia global di ibunegara, Najib dilaporkan berkata Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.
Najib berkata, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.
"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," kata Najib.
Dalam reaksinya, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan (foto) menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
"Ini adalah permuafakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nafi hak rakyat
Oleh itu, katanya, kenyataan Najib bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam adalah tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, larangan tersebut memudaratkan pembangunan negara dan rakyatnya ke arah menjadi matang dalam demokrasi liberal.
Katanya, negara di mana hanya suara Perdana Menteri dan timbalannya sahaja dilaporkan bercakap mengenai dasar-dasar negara dan perkara berkepentingan awam, boleh menuju ke arah authoritarianisme.
Tambahnya, semua pengumuman rasmi oleh kerajaan dan para pegawainya seharusnya tertakluk kepada penilaian rakyat.
"Ini adalah aspek fundamental dalam sebarang sistem demokrasi," katanya, sambil menambah larangan tersebut mesti ditarik balik dan pihak media dibenarkan menyiarkan perdebatan dan pandangan awam mengenai perkara tersebut.
Lim pula berkata, penyelesaiannya bukan dengan cara melarang media dan menafikan hak rakyat Malaysia untuk bersuara.
Beliau menyifatkannya sebagai satu tindakan 'tidak demokratik' serta merupakan satu tamparan hebat terhadap kebebasan akhbar sepanjang 45 bulan Abdullah menjadi perdana menteri.
Menurutnya, larangan terhadap media itu juga memberi tamparan terhadap integriti kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang masyarakat utama di negara sebagai asas pembinaan negara - Malaysia sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasminya.
"Persoalan yang rakyat perlukan jawapannya yang jelas ialah sama ada sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-50 kali ini adalah untuk rakyat Malaysia menyambut 50 tahun penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara sekluar atau menandakan penghujungnya dan bermulanya sebuah negara Islam" katanya. Berita asal

